Pasangan berhenti kerja jaga anak sakit
Pasangan berhenti kerja jaga anak sakit
JERANTUT – Ekoran terbabit dalam kemalangan jalan raya pada April 2019, pasangan suami isteri kini semakin terbeban kerana perlu berhenti kerja untuk menjaga anak keduanya, Ainul Mardhiah Nurul Ridzuan, 5 tahun yang memerlukan penjagaan dan tumpuan khusus.
Pada awalnya, Norashikin Omar, 32 tahun yang bekerja di sebuah kilang berdekatan bandar Kulim (Kedah) mengambil keputusan berhenti kerja.
Disebabkan kerap mengambil cuti untuk menghantar anak mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Nurul Ridzuan Ab. Rahman, 36, pula turut diberhentikan kerja oleh majikan di sebuah ladang swasta.
Nurul Ridzuan mencerita detik malang, kemalangan jalan raya itu berlaku apabila keretanya yang dipandu telah berlanggar dengan sebuah jengkaut (backhole) di Karangan (Kedah) ketika menghantar isterinya pergi bekerja di sebuah kilang berdekatan bandar Kulim (Kedah).
“Akibat kemalangan tersebut, Ainul Mardhiah mengalami kecederaan teruk apabila tempurung kepalanya retak, pendarahan beku, tangan dan kaki kanan patah, manakala kedudukan bola matanya menjadi sepet dan tidak boleh ditutup sepanjang masa termasuk ketika tidur.
“Anak saya ketika kemalangan berlaku tidak sedar langsung dirawat di wad Unit Penjagaan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selama 26 hari dan kami hanya beberapa kali sahaja dibenarkan melawat dalam tempoh berkenaan,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini hari ini.
Menurut Nurul Ridzuan, detik ujian Allah SWT bermula selepas anaknya keluar daripada hospital yang masih dalam keadaan sakit dan perlukan penjagaan yang rapi makan-minum dan kebersihan diri.
“Oleh itu, isteri saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak yang sakit ini kerana dia tidak boleh berenggang dengan kami dan sentiasa menangis minta dibantu.
“Dalam tempoh rawatan sehingga keluar hosital tersebut, kami sudah membelanjakan hampir RM5,000 untuk rawatan dan berulang alik ke hospital termasuk penginapan semasa melawat anak di hospital dalam tempoh tersebut,” katanya.
Dia menambah, keadaan kesihatan Ainul Mardhiah belum pulih kerana tidak mampu berdiri lama, masih ada darah beku di kepalanya dan penglihatannya kemungkinan berisiko kabur serta matanya tidak boleh ditutup malahan kesemuanya memerlukan rawatan susulan termasuk pembedahan atas nasihat doktor.
“Memandangkan tanpa pekerjaan yang tetap dan kesuntukan kewangan saya membawa keluarga pulang menetap di Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut untuk tinggal bersama ibu bapa dan mencari pekerjaan di sini.
“Mujur ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperoleh semasa tinggal di Kulim dahulu sebanyak RM200 untuk menampung belanja kebajikan Ainul Mardhiah,” katanya.
Katanya, dia berharap orang ramai dan dermawan dapat membantu untuk perbelanjaan rawatan dan kebajikan anak ini kerana keadaannya belum pulih serta amat memerlukan perhatian perubatan termasuk pembedahan selanjutnya,” katanya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah menyumbangkan bantuan bolehlah menghubungi Nurul Ridzuan menerusi talian 019-8713451 atau Norashikin Omar (013 -2034639) dan boleh terus ke akaun Maybank 152116464052 (Nurul Ridzuan Ab. Rahman).-SAHIH.