PAS BOLEH TANYA MINGGU DEPAN
Berita Politik
PAS BOLEH TANYA MINGGU DEPAN
SHAH ALAM: PAS digesa memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berbanding dakwaan berlaku perubahan sokongan ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dakwaan itu boleh dibincangkan dalam Mesyuarat Induk Muafakat Nasional secara tertutup minggu hadapan.
“Fokus PRN Sabah dahulu, minggu hadapan dalam Mesyuarat Induk Muafakat Nasional secara tertutup, pimpinan (PAS) boleh dapatkan penjelasan atas semangat musyawarah dan ukhuwah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Asyraf berkata, dalam masa sama UMNO juga memerlukan penjelasan daripada PAS antaranya susulan tindakan politik parti itu.
“Sama-sama perlukan penjelasan… termasuk penyertaan PAS sebagai komponen dalam Perikatan Nasional.
“InsyaALLAH UMNO tidak pernah membelakangi PAS, jauh sekali untuk mengkhianati prinsip bersama sebagaimana digariskan dalam Piagam Muafakat Nasional,” katanya.
Terdahulu, PAS meminta penjelasan UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan merasakan jika benar keadaan itu, ia bermakna UMNO telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang temaktub dalam Piagam Muafakat Nasional dimeterai pada 14 September 2019.
Sumber: Sinar Harian