PAS-BERSATU Pahang ‘Sepakat Sepanjang Jalan’ Hadapi PRU16
PAS-BERSATU Pahang ‘Sepakat Sepanjang Jalan’ Hadapi PRU16
KUANTAN – Pertemuan pimpinan PAS dan BERSATU Pahang semalam menjadi platform mengukuhkan hubungan taawun siyasi antara kedua-dua parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mesyuarat yang diadakan di sini turut memperkenalkan barisan kepimpinan baharu di peringkat bahagian dan kawasan, selain membincangkan strategi memperkukuh kerjasama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Dengan slogan PN Teraju Pahang, kedua-dua parti komited mengekalkan perpaduan dan menggerakkan kerjasama strategik bagi menjadikan PN pilihan terbaik rakyat.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah, berkata pertemuan itu membuktikan kesepakatan yang semakin mantap.
Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU Pahang merangkap Ketua Bahagian Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Hamdan, menegaskan kerjasama erat antara kedua-dua parti mampu memperkukuh jentera pilihan raya di semua peringkat.
“Pertemuan ini bukan sekadar simbolik, tetapi langkah konkrit memastikan PN Pahang bergerak seiring menyusun strategi menghadapi PRU16,” katanya.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah persiapan Program Himpunan 30 Ribu (H30K) bertemakan Hogoh Jelai pada 18 dan 19 September ini.

Program itu dijangka menjadi medan mempamerkan kekuatan PN di Pahang selain menyampaikan mesej politik jelas kepada pengundi mengenai visi dan misi gabungan tersebut.
PAS Pahang dalam kenyataannya yakin pertemuan itu membuka lembaran baharu dalam perjuangan bersama.
“Kerjasama ini diharap menjadi asas kepada kejayaan lebih besar pada masa depan, khususnya dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat Pahang dan Malaysia kepada kepimpinan PN,” menurut kenyataan itu.-SAHIH