PAS BELUM PASTI GUNA LOGO PN PRU-15
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan parti itu belum memuktamadkan keputusan sama ada akan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Abdul Hadi berkata, sebaliknya perkara itu akan ditentukan apabila tiba PRU-15 nanti.
“Bila hujan turun baru kita buka payung. Kita (PAS) akan bertanding dan masih bertanding,” katanya ketika sesi dialog bersama Presiden PAS di Kuala Lumpur, hari ini, dipetik dari Malaysiapost.
GAMBAR HIASAN
Hadi berkata demikian ketika ditanya pendirian PAS mengenai penggunaan logo PN dalam PRU-15 nanti.
Dalam pada itu, ditanya mengenai agihan kerusi membabitkan PAS dengan rakan politiknya, beliau berkata pihaknya akan melihat terdahulu perbincangan dengan rakan Muafakat Nasional.
“Lihat kepada perbincangan kita dengan rakan-rakan dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN,” katanya.
Sebelum ini, PAS mengikat kerjasama politik dengan UMNO menerusi penubuhan MN bagi menghadapi PRU-15 akan datang.
Bagaimanapun pada Mac lalu, PAS dan UMNO bekerjsama dengan BERSATU, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti dari Sabah bagi membentuk kerajaan PN.
Setelah menjadi sebahagian kerajaan PN, PAS membuat keputusan untuk berada dalam PN bersama dengan BERSATU.
UMNO bagaimanapun tidak menyertai PN dan kekal dengan BN serta MN.
Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan penubuhan gabungan besar antara PN, BN dan GPS sebagai persiapan menghadapi PRU-15, Abdul Hadi menyambut baik cadangan itu.
“Ia satu cadangan yang positif. Sehingga kini kita dapati majoriti kepimpinan bersetuju dengan cadangan itu.
“Cuma bagi merealisasikannya perlu masa sedikit. Apa lagi kita belum tahu bila PRU-15,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan satu gagasan besar ditubuhkan bersama antara gabungan PN, BN dan GPS.
Hamzah berkata, dengan termeterainya piagam itu, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh.