Parti kecil pengacau, tiada hala tuju
Parti kecil pengacau, tiada hala tuju
KUANTAN – Kemunculan parti kecil yang turut serta dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hanya berfungsi sebagai pengacau undi, kata Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sambil menggambarkan kebanyakan parti itu tidak memiliki ahli di peringkat akar umbi, dia juga meramalkan mereka sukar untuk melakar kemenangan.
“Saya rasa ini mungkin untuk memecahkan undi, ataupun mereka mungkin merasakan atas sebab tertentu (seperti) peribadi, tidak bersetuju dengan kerajaan atau parti sedia ada.
“Jadi saya tidak faham, sehingga hari ini saya tidak faham kerana mereka ini adalah sebuah parti yang baru tetapi dan tidak nampak hala tuju dan track record pun kita tak tahu,” katanya.
Menteri Besar sementara itu juga mendakwa, pihak yang menubuhkan parti kecil berkenaan adalah orang yang “gagal” justeru kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disertai mereka dulu hanya bertahan selama 22 bulan.
Wan Rosdy berkata demikian di sini ketika diminta mengulas mengenai ucapannya berkenaan beberapa parti kecil yang dianggapnya tidak ada hala tuju dalam PRU ke-15.
Ditanya sama ada parti kecil yang dimaksudkannya itu adalah Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Wan Rosdy enggan mengulas lanjut.
“Saya ingat kita semua dah matang, mereka boleh fikir sendirilah kepada siapa yang saya maksudkan,” katanya.
Ditanya berkaitan banyak parti ‘luar’ juga dijangka akan bertanding di Pahang dalam pilihan raya kali ini, Wan Rosdy berkata sebelum ini pun perkara itu pernah berlaku.
“Sebelum ini pun ada parti-parti ‘luar’, saya pernah (bertanding) tiga penjuru, empat penjuru, (calon) bebas pun ada masuk, itu perkara biasa,” katanya.-Pahang Daily Online.