PARAS OMBAK CECAH 3.1 METER, SELURUH KUALA KEDAH DIGENANGI AIR
PARAS OMBAK CECAH 3.1 METER, SELURUH KUALA KEDAH DIGENANGI AIR
PADANG BESAR: Paras ombak setinggi 3.1 meter sehingga mengakibatkan seluruh kawasan Kuala Kedah ditenggelami air awal pagi tadi.
Gelombang air pasang besar itu turut mengakibatkan terminal feri, premis perniagaan, rumah penduduk serta jalan raya digenangi air setinggi 0.5 hingga 0.7 meter.
Tinjauan Astro AWANI bersama pegawai dan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati, paras air mulai naik pada jam 1.15 pagi dan berlarutan selama satu jam sebelum surut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan Kota Marina di Kuala Kedah selain sekitar kawasan itu bermula jam 10 malam untuk memastikan orang awam tidak berada di persisir pantai dan tiada penduduk yang terperangkap dalam banjir hasil air pasang terbabit.
Ketika rondaan dilakukan, bomba turut meminta beberapa kaki pancing supaya beredar dari kawasan pantai.
“Dipohon kerjasama tuan tuan jangan hampiri kawasan-kawasan yang telah ditenggelami air sila jaga keselamatan masing-masing,” katanya.
Sebagai langkah keselamatan, lebih daripada 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja ditugaskan untuk memantau keadaan di seluruh kawasan sekitar Kuala Kedah.
Namun beliau kesal kerana terdapat segelintir pihak yang menganggap ianya seperti satu pesta bermain air dengan keluar memenuhi jalan dan kawasan ditenggelami air.
“Sepatutnya kita kena pastikan bahawa orang awam tahu dengan keadaan semasa iaitu air pasang besar akan meningkat kepada 3.1 meter.
“Masalah sekarang ini kita rasa mungkin perkara ini tidak sampai kepada orang awam kerana orang awam masih lagi seperti berpesta dengan keadaan air semakin merbahaya.
“Saya harapkan dengan maklumat yang diberikan ini, orang awam boleh ambil langkah berjaga-jaga dan berwaspada untuk pastikan keselamatan dan harta benda dan juga nyawa di kawasan sekitar yang terjejas,” katanya.
Katanya, sepanjang pemantauan tiada insiden melibatkan kehilangan nyawa ataupun mereka yang terperangkap dalam air pasang terbabit.
Jelasnya pemantauan akan diteruskan sehingga fenomena air pasang tamat pada 7 November ini. – Awani