Pantau sistem pendawaian di rumah FELDA
Pantau sistem pendawaian di rumah FELDA
BENTONG – Pihak pengurusan FELDA sedang berusaha melakukan pemeriksaan sistem pendawaian elektrik di kawasan perumahan FELDA bagi mengelak insiden kebakaran susulan musim panas ketika ini.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, sistem pendawaian elektrik di kebanyakan rumah peneroka sudah berusia belasan tahun dan berisiko mudah berlaku litar pintas hingga mengakibatkan kejadian tidak diingini.
“Perkara ini adalah antara yang sedang diberi perhatian oleh pihak kami dan mendapat kerjasama baik daripada pengurusan FELDA.
“Jadi saya nasihatkan kepada warga peneroka supaya sentiasa peka dengan keadaan sistem pendawaian di kediaman masing-masing.
“Dalam kejadian semalam di FELDA Chemomoi, banyak kediaman yang terjejas akibat hujan lebat dan kita bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan jiwa.
“Bantuan kilat juga sudah disalurkan kepada semua mangsa dan bantuan susulan juga sedang diusahakan oleh pejabat saya dan pihak FELDA sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Bersama Anak-anak Yatim dan Asnaf Pelangai di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Simpang Pelangai, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian lewat petang kelmarin, bencana ribut dan hujan lebat melanda di FELDA Chemomoi dan telah mengakibatkan kerosakan kediaman dan perniagaan penduduk.
Seramai 33 keluarga peneroka FELDA Chemomoi terbabit dalam kejadian itu.
Selain itu, dua rumah kedai dan tiga kuarters guru turut terjejas.
Seramai 54 peniaga bazar Ramadan turut terlibat dalam kejadian tersebut.
Amizar berkata, semua agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan FELDA sudah menghulurkan bantuan awal kepada semua mangsa.
Turut hadir pada majlis itu adalah ahli parlimen Bentong, Young Syefura Othman.-SAHIH