PANTAU KEGIATAN PELAJAR DI MEDIA SOSIAL
PANTAU KEGIATAN PELAJAR DI MEDIA SOSIAL
SINGAPURA: Kementerian Pendidikan Singapura menjelaskan aplikasi pengurusan peranti (DMA) yang dipasang pada gajet pelajar sekolah hanya memantau data kegiatan dalam talian pelajar seperti sejarah carian laman sesawang.
Ia hanya bertujuan menyekat akses kepada bahan tidak menyenangkan dan bukannya menjejaki maklumat peribadi seperti lokasi, nombor pengenalan atau kata laluan mereka.
Dalam maklum balas terhadap pertanyaan agensi berita CNA, kementerian itu menjelaskan, aplikasi itu bagaimanapun akan membuat penangkapan data mengenai kegiatan dalam talian pelajar.
Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Aaron Loh, berkata data berkenaan akan disimpan dalam sistem pelayan dikendalikan vendor DMA, dengan kawalan akses yang ketat.
“Ini selari dengan undang-undang dan dasar data peribadi kerajaan untuk melindungi data sensitif dikumpulkan agensi awam,” katanya.
Maklum balas itu menyusuli petisyen dalam talian mengumpulkan lebih 6,000 tanda tangan, oleh pelajar yang mahu Kementerian Pendidikan menghentikan pemasangan DMA.
Petisyen itu menjelaskan, pelajar tidak berpuas hati kerana perlu memuat turun aplikasi pada gajet mereka dengan alasan perlu mempertahankan privasi selain mendedahkan data kepada risiko digodam jika program itu diserang.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Dalam perkembangan lain, pelajar berusia 16 tahun yang merancang menyerang dua masjid di Singapura minggu lalu didapati banyak menghabiskan masanya dalam talian untuk meneliti bahan kebencian dan cara memperoleh senjata, lapor Agensi.
Namun, rakan dan keluarganya tidak mengetahui kegiatan dalam taliannya dan kecenderungan anti Islam remaja itu, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD)
Dia mahu melancarkan serangan mirip kepada serangan ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac 2019 oleh Brenton Tarrant, yang membunuh 51 orang menerusi serangan itu.
Remaja itu memilih hari ulang tahun kedua serangan di New Zealand, 15 Mac, untuk menyerang umat Islam di dua masjid di sini.
Seorang psikiatri, Dr Adrian Wang, berkata remaja yang tersisih secara sosial atau tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak mempunyai hubungan erat mungkin lebih mudah dipengaruhi oleh propaganda dalam talian.
GAMBAR IHSAN AGENSI
“Ini (komuniti dalam talian) menjadi ruang terbuka di mana mereka tidak menerima bimbingan dari pihak bertauliah,” katanya.
Tambah beliau, terdapat tanda-tanda boleh diperhatikan oleh ibu bapa, seperti peningkatan pengasingan dari keluarga dan rakan-rakan.