PANTAU DAN TEGURAN BAGI MENAMBAHBAIK PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP)
PANTAU DAN TEGURAN BAGI MENAMBAHBAIK PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP)
BENTONG: Pihak polis melakukan beberapa teguran terhadap pengurusan sebuah pasaraya bagi menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam semalam.
Dalam tinjauan yang dilakukan pihak polis di sebuah pasaraya malam semalam antara teguran yang dibuat adalah mengenai pemasangan tanda penjarakan untuk pelanggan yang beratur sama ada membayar atau membungkus makanan.
Ketua Polis Daerah Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di premis-premis termasuk pasaraya dan sebagainya bagi memastikan SOP ditetapkan dilaksanakan dengan baik.
“Setakat ini kita tengok pihak pasaraya mematuhi SOP begitu juga dengan pengunjung yang ada di sini, cuma ada satu dua teguran kita buat supaya mereka menambahbaik,”.
Menurut Zaiham pihak polis akan melaksanakan pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang gagal mematuhi SOP dalam pelaksanaan PKP yang telah masuk fasa kedua.
Katanya, pihak polis juga berharap masyarakat memberikan kerjasama kepada pihak polis dan turut sama membuat teguran terhadap individu yang tidak mematuhi SOP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Dalam pada itu katanya, dua lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan di daerah ini bermula tengah malam tadi menjadikan lima SJR dibuka di daerah ini setakat ini.
“Bermula tengah malam tadi kita menambah dua lagi sekatan jalan raya di Bentong iaitu di Jalan Tras dan Jalan Besar Karak menjadikan lima SJR dilaksanakan melibatkan negeri dan daerah,”ujarnya.