Panggilan ancaman bom, Pejabat Daerah dan Tanah Lipis gempar
Panggilan ancaman bom, Pejabat Daerah dan Tanah Lipis gempar
LIPIS – Semua 158 pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis itu diarahkan bergerak ke lokasi ‘spot’ yang telah ditetapkan serta tidak menyentuh sebarang objek yang meragukan bagi menghadapi kemungkinan kejadian yang lebih buruk sejurus dimaklumkan terdapat bom di pejabat itu, pada jam 10.00 pagi, semalam.
Ibupejabat Polis Daerah (IPD) turut dimaklumkan berkaitan panggilan ancaman itu dan bergegas ke ke lokasi kejadian bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) pada jam 10.15 pagi dan membuat pemerhatian dan pencarian dan berjaya menemui bom yang dibungkus dalam sebuah kotak berdekatan surau pejabat itu.
Kira-kira jam 11.00 pagi, bom berjaya dimusnahkan dengan menggunakan robot khas yang menghampiri bom berbungkus itu diikuti seorang anggota UPB berpakaian khas seberat 40 kilogram pergi ke tempat bom berjaya dimusnahkan itu bagi memastikan tiada lagi objek yang meragukan.
Walau begitu, semua lega apabila mengetahui latihan simulasi pemusnahan bom itu dijalankan oleh UPB dengan kerjasama bersama beberapa agensi setempat, semalam.
Penolong Pengarah Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNe) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Asisten Komisioner Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, tujuan mengadakan simulasi pemusnahan bom itu untuk melatih kakitangan dan orang awam di tempat kejadian agar tahu dan perlu bersiap sedia sekiranya menerima ancaman seperti itu.
“Selain itu juga meningkatkan keyakinan diri dan kecekapan pegawai dan anggota UPB agar sentiasa peka dan siap sedia dalam menanggani kejadian seperti itu.
“Memang UPB sentiasa mengadakan latihan khusus menghadapi kemungkinan ancaman dan angkara luar jangka, oleh itu unit ini perlu dipertingkatkan kemahiran anggota.
Katanya, UPB memang wujud di setiap negeri, tetapi oleh kerana Pahang sebuah negeri yang luas dan jarak yang jauh, maka IPD Lipis dipilih sebagai sub-stesen untuk membantu IPD Cameron Highlands, Jerantut, Raub dan Bentong.
“UPD juga dibekalkan peralatan yang perlu untuk membantu anggota dalam menghadapi situasi bahaya dengan robot, pakaian khas dan lain-lain kelengakap,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, latihan itu dijalankan oleh UPB itu sebagai membantu unit persenjataan di IPD Lipis yang sedia ada di sini, malah mengambil kira masa tindakbalas selepas dimaklumkan kejadian ancaman bom.
“Berterima kasih dengan UPB pusat yang bersama meningkatkan kemahiran dengan anggota unit UPB di sini serta mendapat kerjasama yang baik daripada Pegawai Daerah Lipis,” katanya.-SAHIH.