PAKISTAN SEKAT TikTok
PAKISTAN SEKAT TikTok
PESHWAR, PAKISTAN: Pakistan menyekat aplikasi perkongsian video TikTok untuk kali kedua selepas mahkamah mengarahkan platform itu ditutup kerana kandungan tidak beretika dan bermoral.
Aplikasi milik China yang popular dalam kalangan anak muda Pakistan itu disekat tahun lalu atas alasan yang sama oleh agensi telekomunikasi negara itu.
“Lembaga Telekomunikasi Pakistan (PTA) mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan untuk segera menyekat akses aplikasi TikTok,” menurut agensi itu berikutan perintah mahkamah.
Sebelum ini, aplikasi itu dipersalahkan oleh seorang Penasihat Perdana Menteri, Imran Khan kerana mempromosikan eksploitasi dan seksualisasi wanita muda.
Peguam, Sara Ali Khan berkata, Mahkamah Tinggi Peshawar memerintahkan aplikasi itu dihentikan segera kerana video bertentangan dengan standard etika dan nilai moral Pakistan.
Aplikasi ini tidak dapat diakses di Pakistan bermula semalam.
Sementara itu, TikTok mengatakan ia mempunyai perlindungan yang kuat untuk menjaga kandungan yang tidak sesuai daripada platform berkenaan.
Penyokong kebebasan bersuara sekian lama mengkritik penapisan dan kawalan pemerintah ke atas internet dan media cetak serta elektronik Pakistan, lapor AFP.
Tahun lalu kerajaan Pakistan meminta YouTube untuk segera menyekat semua video yang dianggap mendapat bantahan untuk diakses di negara itu dan ia dikritik oleh pejuang hak asasi.
Amerika Syarikat (AS) menuduh TikTok berisiko untuk keselamatan negara, tetapi di Pakistan selaku sekutu rapat China, tiada kebimbangan privasi yang ditimbulkan.
India pula sudah melarang aplikasi itu bersama dengan puluhan platform mudah alih China yang lain.