Pakcik Ariffin tunjuk gerak pahlawan
Pakcik Ariffin tunjuk gerak pahlawan
Foto atas : Pakcik Ariffin Omar, 76, mempersembahkan ‘Bunga Silat’ di atas pentas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Pakcik Ariffin Omar, 76, dengan tenaga yang lemah mempersembahkan ‘Bunga Silat’ di atas pentas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Beliau yang berjalan menggunakan bantuan kerusi roda seolah-olah diserapi semangat kepahlawanan kerana sebelum itu terlebih dahulu persembahan ahli Persatuan Silat Gayung Fatani dan Persatuan Silat Bugis Cimande Dam Dam Cawangan Putrajaya yang hadir bagi memeriahkan majlis Majlis Tebaran Roti Canai ‘Pahlawan Mat Kilau’.
Selepas memaklumkan kepada pengacara majlis itu hasrat Pakcik Ariffin untuk mempersembahkan ‘Bunga Silat’, dipenuhi.
Pakcik Ariffin bergerak perlahan-lahan ke pentas dengan diiringi sukarelawan PJMM untuk mengadakan seni silatnya,
Sebaik sahaja muzik gendang silat gayung dimainkan, Pakcik Ariffin terus memulakan aksi sembah ‘Bunga Silat’nya yang menjadikan suasana hening seketika dengan tetamu memberi tumpuan kepada beliau.
Mungkin lebih terkesan kepada Pakcik Ariffin jika persembahannya itu dapat disaksikan oleh anak, cucu atau warisnya yang entah berada di mana.
Tetamu dan ahli persatuan silat yang hadir memberi tepukan gemuruh kepada Pakcik Ariffin yang terketar-ketar berdiri mengakhiri persembahan dengan penuh semangat ‘Mat Kilau’.
Turut hadir bagi menjayakan majlis itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang Zon 20, Muhammad Hanafi Jalalludin.-SAHIH.