PAKAI GELANG MERAH JAMBU BERADA DI STESEN MINYAK
PAKAI GELANG MERAH JAMBU BERADA DI STESEN MINYAK
BENTONG: Di media sosial memaparkan seorang lelaki yang tidak memakai pelitup mulut dan hidung serta memakai “gelang merah jambu” berada di sebuah stesen minyak di Batu 1, Bentong, kira-kira jam 2.00 petang, yang ditularkan hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki warganegara tempatan berusia 25 tahun itu yang sedang mengisi minyak tanpa memakai pelitup mulut dan hidung dirakam gambarnya oleh orang awam.
“Siasatan awal pihak polis, mendapati lelaki terbabit dalam perjalanan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong untuk memotong gelang pengawasan merah jambu itu.
“Namun, kereta yang dipandu lelaki terbabit dipercayai kehabisan minyak dan berhenti di stesen itu untuk mengisi minyak dan sempat dirakam oleh orang awam gelagatnya,” katanya.
Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Sesiapa yang melanggar, mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini atau mana-mana arahan Ketua Pengarah atau seseorang pegawai diberi kuasa melakukan suatu kesalahan dan boleh disabitkan akan denda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-keduanya sekali.
“Orang ramai dinasihatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), khususnya dalam pemakaian pelitup mulut dan hidung di tempat awam serta menjaga penjarakan fizikal,” katanya.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bertentangan dengan SOP boleh disalurkan kepada Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.-SAHIH.