Pak Yub ceriakan Program Korban Aidiladha Surau As-Siddiq
Foto : Sambil berseloroh dengan humor lucu Pak Yub menghiburkan petugas di bahagian memotong dan membungkus daging korban.
Pak Yub ceriakan Program Korban Aidiladha Surau As-Siddiq
CHERAS – Celoteh dan lawak spontan Pak Yub atau Ayuh Shafii, bekas Timbalan Ketua Balai Polis Seri Petaling, menceriakan suasana Program Korban sempena Hari Raya Aidiladha di Surau As-Siddiq, Bandar Tun Hussein Onn.

Sambil melemparkan jenaka Pak Yub turut mengingatkan petugas berwaspada apabila terbabit dalam kerja pemyembelihan
Beliau yang bertindak sebagai pengacara majlis berjaya menyuntik elemen hiburan dan keceriaan sejak awal majlis, dengan jenaka bersahaja ketika memberi arahan pendaftaran peserta korban, sukarelawan dan petugas.
Suasana di setiap khemah, termasuk tempat melapah, memotong daging dan tulang turut meriah apabila Pak Yub mengusik para petugas yang masih santai, manakala kaum wanita di bahagian dapur juga tidak terkecuali menerima gurauan ketika menyediakan bahan masakan.
Antara jenaka mencuit hati termasuk menyamakan tekanan lembu yang menunggu disembelih dengan “Ketua Lembu” yang stres kerana peserta belum tiba.
Menurut Pak Yub, pendekatan humor penting bagi mengelakkan tekanan sepanjang program yang memerlukan kerjasama ramai pihak untuk menyembelih dan menguruskan 10 ekor lembu korban.
“Saya selitkan unsur humor supaya suasana tidak tegang dan para petugas serta sukarelawan terus bermotivasi walaupun cuaca panas,” katanya sambil berseloroh mengingatkan supaya semua ekor lembu korban lengkap dikira.
Pengarah Projek, Rohaimi Zainol, turut memuji peranan Pak Yub dalam melancarkan agihan tugas secara tidak langsung melalui cara menghiburkan yang mengurangkan rasa penat dalam kalangan petugas.
Petugas memotong tulang, Idris Asaran, berkata lawak Pak Yub bukan sahaja menghiburkan malah menjadikan suasana kerja lebih ceria dan berkesan.-SAHIH