Pak Andak raih sokongan padu perwakilan UMNO Jerantut
Pak Andak raih sokongan padu perwakilan UMNO Jerantut
JERANTUT – Calon nombor lima, Razak Daud, yang lebih dikenali sebagai Pak Andak, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan dan jentera yang telah memberikan sokongan padu dalam pemilihan G7 UMNO Bahagian Jerantut 2025.
Beliau memperoleh sebanyak 421 undi, menjadikan beliau calon kedua tertinggi dalam senarai tujuh calon yang berjaya ke Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kelak.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua perwakilan yang memilih saya. Kemenangan ini adalah amanah dan kepercayaan yang akan saya pikul dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika ditemui sejurus selepas pengumuman keputusan.
Pak Andak turut menzahirkan penghargaan kepada rakan seperjuangan, pasukan kempen dan ahli UMNO yang terus setia menyokong perjuangan parti di peringkat akar umbi.
“Insya-Allah saya akan membawa suara Jerantut ke peringkat tertinggi dan memperjuangkan nasib ahli dengan sebaiknya,” katanya lagi.
Keputusan rasmi menunjukkan Ahmad Murad Mat Hashim @ Idris mendahului dengan 424 undi, diikuti Razak Daud (Pak Andak) 421 undi dan Alina A. Rahman di tempat ketiga dengan 369 undi.
Turut tersenarai ialah Nur Farhana Adila Suhaimin, Ahmad Farooq Fauzi, Suffyan Mustapa Kamar dan Muhammad Ali Shafie Mohd Sofian, yang masing-masing berjaya mendapat tempat dalam kelompok tujuh teratas.-SAHIH