Pahlawan Mat Kilau resap semangat penduduk Taman Inderapura Jerantut
Foto atas : Antara penduduk yang membantu memasang bendera di sekitar Taman Inderapura yang bermula semalam.
Pahlawan Mat Kilau resap semangat penduduk Taman Inderapura Jerantut
JERANTUT – Semangat kepahlawanan Melayu yang dipaparkan melalui filem Mat Kilau mula membakar semangat penduduk Taman Inderapura di sini dengan mula memasang dan menghias bendera Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun 2022 yang bakal disambut tidak lama lagi.
Hampir setiap jalan utama dan lorong di taman itu mula memasang bendera Malaysia dan negeri Pahang selain penduduk di taman itu mula menghias bendera di kediaman masing-masing.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Inderapura, Rahmat Yusof berkata, pemasangan bendera sudah bermula secara berperingkat.
“Jawatankuasa KRT dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Inderapura turut berganding bahu untuk memasang bendera di jalan utama di taman ini.
“Selalunya dua minggu sebelum 31 Ogos, penduduk di sini akan memasang bendera di hadapan rumah masing-masing,” katanya.
Katanya, tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama menjadi pemangkin semangat waja dan disertai dengan penularan filem Mat Kilau yang membakar semangat khusus generasi muda.
“Saya dan jawatankuasa gembira kerana remaja dan kanak-kanak di taman ini datang untuk membantu memasang bendera dan ini menunjukkan generasi muda memahami peranan mereka dalam masyarakat dan negara,” katanya.-SAHIH.