Pahang teruskan solidariti, lulus RM50,000 bantu Palestin
Pahang teruskan solidariti, lulus RM50,000 bantu Palestin
TEMERLOH: Keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin terus diterjemahkan apabila kerajaan Pahang meluluskan sumbangan RM50,000 bagi membantu mangsa konflik berpanjangan di wilayah itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan berkenaan akan disalurkan dalam tempoh sebulan melalui wakil Duta Aman Palestin, Finaz Yunus.
“Saya janji dalam masa sebulan, insya-Allah RM50,000 sumbangan daripada kerajaan Pahang kepada tabung Palestin akan kita sampaikan melalui Saudari Finaz,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Cinta Palestin Bersama-sama Tok Wan bersempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2025 Peringkat Daerah Temerloh di Padang Awam Desa Baru Purun, di sini, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang; ketua-ketua jabatan serta pimpinan setempat.
Wan Rosdy berkata, isu Palestin bukan perkara baharu malah telah berlarutan sejak sekian lama dan keadaan di wilayah itu dilihat semakin buruk dari semasa ke semasa.
“Dulu pun macam itu, sekarang pun macam itu. Dalam pemikiran saya, saya sangat berharap perkara seperti ini tidak berlaku di negara kita atau di Pahang khususnya.
“Isu Palestin ini, seingat saya celik mata, kita sudah tahu mengenainya. Sampai sekarang masih tidak selesai dan keadaannya menjadi semakin buruk,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Pahang sentiasa berusaha membantu rakyat Palestin antaranya melalui kutipan derma serta penghantaran barangan ke Gaza, meskipun berdepan kekangan sekatan yang ketat.
Dalam perkembangan lain, sebanyak RM8,117,890.50 hasil cukai tanah berjaya dikutip setakat semalam sempena penganjuran Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2025 Daerah Temerloh yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok.
Menurut Wan Rosdy, penganjuran program secara serentak merangkumi Karnival Aspirasi Pahang 1st, Karnival Tanah Pahang dan Karnival Usahawan Makmur terbukti berkesan dalam memudahkan urusan rakyat serta meningkatkan kutipan hasil negeri.
“Sebab itu kita akan teruskan program sebegini pada tahun-tahun akan datang kerana kita melihat rakyat suka urusan dibuat secara berpusat dan dalam suasana bersama.
“Apabila kita buat karnival tanah, kutipan yang diperoleh lebih tinggi kerana rakyat tidak perlu ke pejabat tanah secara berasingan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MAHA Pahang akan dianjurkan setiap tahun bermula tahun ini berikutan sambutan menggalakkan daripada rakyat.
“Dalam bajet baharu, kerajaan Pahang sudah memutuskan supaya MAHA Pahang dibuat setiap tahun bagi memberi lebih kemudahan kepada rakyat,” katanya.-SAHIH
