PAHANG TERUS KONSISTEN KUKUH MUAFAKAT NASIONAL
PAHANG TERUS KONSISTEN KUKUH MUAFAKAT NASIONAL
KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang akan terus komited dan konsisten dalam mengukuhkan lagi persepakatannya dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendirian sama telah dinyatakan sebelum ini, dan turut dizahirkan pada pertemuan kepemimpinan tertinggi MN Pahang yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri, Rosli Abdul Jabar dan Timbalannya, Andansura Rabu, semalam.
Katanya, turut mewakili PAS pada pertemuan itu ialah Ketua Penerangan, Tarmizi Yahya, Setiausaha Badan Perhubungan, Hasanuddin Salleh dan Pengarah Pilihanraya, Hamdan Abdullah.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hassan Ariffin; Bendahari, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Ketua Penerangan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar.
“Ini merupakan pertemuan kesekian kalinya diadakan antara kedua-dua barisan kepemimpinan parti, pertemuan malam tadi turut membincangkan pelbagai perkara khususnya berkaitan gerak-atur kerja bersama bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
“Berkaitan MN Pahang, saya telah secara konsisten menyebut betapa ia merupakan persepakatan terbaik demi menyaksikan kesinambungan dan kestabilan Kerajaan yang ada pimpinan UMNO – Barisan Nasional (BN) sekarang serta Kerajaan Negeri tempoh pasca PRU-15 kelak,” katanya melalui kenyataan media petang tadi.
Katanya, lagipun, persepakatan sebeginilah yang dituntut bukan sahaja oleh ahli-ahli kedua-dua parti UMNO dan PAS, malah turut diterima baik serta dituntut juga oleh rakyat negeri ini.
“Sejarah juga membuktikan, di sebalik jatuhnya Kerajaan Pusat pimpinan BN pada PRU-14 lepas, namun di Pahang (selain di Perlis), BN yang ditunjangi UMNO, terus-menerus mendapat mandat rakyat untuk memerintah tanpa henti selama lebih 60 tahun kini.
“Dengan kekuatan yang ada pada BN Negeri yang UMNO tunjangi, dan diperkukuhkan lagi dengan penyertaan PAS dalam MN Negeri, saya yakin, In Sya Allah, perjuangan bersama kita menghadapi PRU-15 akan membuahkan hasil yang lebih daripada disasarkan,”katanya.
Katanya, beliau berharap, semua pihak perkukuhkan persepakatan yang tentunya bersandarkan atas faktor kejujuran dan setiakawan sejati, demi menyaksikan bangsa, agama dan bumi Pahang terus terpelihara.