PAHANG TERIMA 11,700 DOS TAMBAHAN VAKSIN COVID-19
PAHANG TERIMA 11,700 DOS TAMBAHAN VAKSIN COVID-19
KUANTAN: Kerajaan Pahang hari ini menerima 11,700 dos tambahan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer BioNTech.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, vaksin itu ditempatkan di lima pusat penyimpanan vaksin di seluruh Pahang.
GAMBAR HIASAN
“Sejumlah 4,680 dos ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA); masing-masing 1,170 dos di Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Bentong; manakala Hospital Lipis dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh pula menerima 2,340 dos.
“Semua dos tambahan itu mula tiba di pusat penyimpanan vaksin secara berperingkat sejak pukul 1 petang tadi,” katanya.
Beliau berkata, proses pengagihan dos tambahan berkenaan akan dikendalikan Pusat Kesihatan Daerah untuk proses suntikan vaksin kepada penerima mengikut kategori ditetapkan, dengan keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan.
Dos tambahan diterima kerajaan Pahang hari ini adalah susulan daripada penghantaran fasa pertama vaksin COVID-19 berjumlah 23,400 diterima kerajaan negeri pada 24 Februari lalu, lapor KOSMO! Online.
GAMBAR HIASAN
Secara keseluruhannya, kerajaan negeri dijadualkan menerima 64,350 dos vaksin COVID-19 melalui enam fasa penghantaran.
Pahang mempunyai lima pusat penyimpanan vaksin, 49 pusat pemberian vaksin dan 72 fasiliti pemberian vaksin di seluruh negeri.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya berharap proses pemberian vaksin COVID-19 kepada seluruh rakyat Pahang dapat diselesaikan selewat-lewatnya Februari tahun hadapan.