PAHANG SEDIA BELI TAMBAHAN VAKSIN
PAHANG SEDIA BELI TAMBAHAN VAKSIN
MARAN: Kerajaan Pahang sedia membeli sebanyak 10,000 dos lagi vaksin COVID-19 sebagai tambahan kepada vaksin yang diperuntukkan untuk negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, vaksin tambahan itu akan dibiayai sendiri kerajaan negeri jika memperoleh kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.
WAN ROSDY WAN ISMAIL
Katanya, vaksin tambahan itu akan diberikan kepada golongan tercicir yang tidak berdaftar dengan MySejahtera seperti orang gaji atau mereka yang tidak mempunyai akses kepada aplikasi MySejahtera.
“Untuk beli (vaksin) kita mesti melalui Kerajaan Pusat dan kalau mereka bagi (beri), kita belilah sebanyak 10,000 (dos) lagi. Kita tak boleh tempah direct (terus) dari China atau Amerika (Syarikat).
“Kos pembelian kita belum pasti lagi, tapi kita akan ikut prosedurlah, minta Jabatan Kesihatan negeri bantu sebab nak beri suntikan nanti kena ada ilmu dan kita kena buat secara teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Wang Ihsan Mangsa Banjir kepada lebih 2,000 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Komuniti Kampung Jara, Kuala Sentul dekat sini, hari ini, lapor KOSMO! Online.
GAMBAR HIASAN
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak dan Pegawai Daerah Maran, Sharuddin Jali.
Mengulas penyampaian wang ihsan, Wan Rosdy berkata, program itu dijangka selesai dalam minggu ini memandangkan hampir 90 peratus KIR yang layak sudah menerima wang bantuan sebanyak RM500 sumbangan kerajaan negeri.
Secara keseluruhannya, lebih 18,000 KIR seluruh negeri ini layak menerima wang ihsan sumbangan kerajaan Pahang membabitkan peruntukan hampir RM10 juta.