Pahang sedang merangka pelaksanaan undang-undang hukuman ‘diyat’ ke atas pesalah jenayah Islam
Foto atas : Syed Ibrahim Syed Ahmad (depan kiri) sedang menyampaikan sumbangan fidyah Majlis Ugama Islam Pahang kepada seorang mualaf di Masjid Tengku Ahmad, Jerantut.
Pahang sedang merangka pelaksanaan undang-undang hukuman ‘diyat’ ke atas pesalah jenayah Islam
JERANTUT – Kerajaan Negeri Pahang merancang untuk melaksanakan tindakan denda atau ‘diyat’ kepada pesalah jenayah dalam Islam pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad menjelaskan diyat merupakan hukuman penggantian yang utama bagi hukuman qisas jika gugur hukuman qisas dengan sebab yang menggugurkannya ataupun jika pesalah dimaafkan oleh mangsa atau waris.
“Pelaksanaannya nanti bukanlah mudah serta cadangan ini mengambil masa bagi kita untuk menghalusi dan merangka Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan diyat sebelum dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (PDUN) nanti.
“Tugas meneliti dan merangka hukuman ini, kerajaan serahkan kepada Jabatan Mufti, Majlis Ugama Islam dan Adat Resan Melayu Pahang (Muip), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan kalangan ulama serta penasihat ungang-undang bagi memberikan pandangan berkaitan hukuman jenayah Islam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Mahabbah Saudara Baharu, Perasmian Penutupan Ihtifal Kelas Fardhu Ain dan jamuan hari raya di Masjid Tengku Ahmad, bandar Jerantut di sini, semalam.
Menurut Syed Ibrahim, diyat, iaitu sejumlah harta tertentu sebagai satu hukuman jenayah terhadap pesalah (jenayah) yang dibayar kepada mangsa kerana kesalahan membunuh seakan-akan sengaja atau tersalah dan terhadap kesalahan mencederakan dengan tersalah.
Katanya, hukuman diyat antara implementasi perundangan yang disesuaikan dengan keadaan semasa memandangkan sebelum ini sebanyak 12 enakmen berkaitan dengan pelbagai hukum Islam telah dibentangkan di PDUN dan telahpun mendapat sokongan ramai dan diluluskan sebagai akta.
“Walaupun bukanlah mudah berkaitan pelaksanaan hukuman diyat ini, tetapi kita (Jabatan Mufti/Agama/semua agensi) akan meneliti dan merangka cadangan ini nanti terutama beberapa perkara yang perlu diteliti seperti denda yang membabitkan harta dikenakan serta kemampuan pesalah jenayah Islam berkenaan,” katanya.
Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kerdau selanjutnya menambah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sendiri sentiasa memberikan galakan serta sokongan setiap kali perbahasan rang undang-undang membabitkan hukuman berasaskan enakmen Islam di PDUN.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, banyak perkara baharu seperti berasaskan Islam seperti pendidikan Kafa, tahfiz, pengIslaman saudara baharu dan dakwah Islamiah telah diperkenalkan antara agenda penting kerajaan negeri di bawah kepimpinan Wan Rosdy.
“Usaha berterusan kerajaan negeri ini untuk memperkasakan agama Islam sebagai pegangan utama pemerintah, rakyat serta implementasi dalam pengurusan pentadbiran (kerajaan).
“Segala usaha kebaikan yang kita (kerajaan) lakukan di bawah kepimpinan Menteri Besar merupakan rahmat Allah SWT untuk menjana kemakmuran dan kesejahteraan bersama rakyat,” katanya.-SAHIH.