Pahang, Sarawak & Johor Dijangka Dilanda Hujan Berterusan – Penduduk Diminta Berwaspada!
Pahang, Sarawak & Johor Dijangka Dilanda Hujan Berterusan – Penduduk Diminta Berwaspada!
KUANTAN – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka melanda beberapa negeri, termasuk Pahang, Sarawak, dan Johor bermula 20 hingga 21 Mac.
Di Pahang, hujan berterusan diramal melanda daerah Kuantan, Pekan, dan Rompin. Keadaan ini boleh menyebabkan kenaikan paras air sungai serta risiko banjir kilat di kawasan rendah dan pesisiran pantai.
Sementara itu, di Sarawak, hujan berterusan dijangka berlaku sehingga 20 Mac melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit), serta Bintulu.
Di Sabah, cuaca buruk ini dijangka berlaku pada 20 hingga 21 Mac, melibatkan daerah Ranau dan Kota Belud di Pantai Barat, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan di Sandakan, serta Kudat.
Johor turut tidak terkecuali, dengan hujan berterusan dijangka melanda daerah Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Susulan amaran ini, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk berwaspada dan mengelakkan aktiviti luar, terutama di kawasan berisiko tinggi seperti tebing sungai dan pantai.
Orang ramai juga disarankan mengikuti perkembangan cuaca melalui saluran rasmi METMalaysia dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.-SAHIH