PAHANG KUKUHKAN STATUS DESTINASI PELANCONGAN TERATAS DI MALAYSIA
PAHANG KUKUHKAN STATUS DESTINASI PELANCONGAN TERATAS DI MALAYSIA
KUANTAN – Negeri Pahang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia apabila mencatatkan kadar purata penginapan hotel tertinggi di negara ini, iaitu 75.6% bagi tempoh Januari hingga Disember 2024.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia, pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.5% berbanding tahun 2023, yang merekodkan kadar purata 74.1%. Statistik turut menunjukkan lebih 36,000 bilik penginapan di Pahang beroperasi sepanjang tahun lalu, menandakan permintaan tinggi dalam sektor pelancongan negeri ini.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada di kedudukan kedua dengan purata 62.6%, diikuti oleh Putrajaya (56.5%) dan Pulau Pinang (56.8%). Sementara itu, Johor (52.3%) serta Selangor dan Sabah yang mencatatkan kadar sama iaitu 51.6% turut tersenarai dalam enam negeri dengan kadar penginapan tertinggi.
Dari segi jumlah pelancong, seramai 13.7 juta pelancong mengunjungi Pahang sepanjang tahun 2024, meningkat 3.81% daripada 13.2 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan ini turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dengan anggaran perbelanjaan pelancongan mencecah RM12.34 bilion, berbanding RM11.88 bilion pada tahun 2023.
Pahang juga mencatat jumlah pelancong tempatan tertinggi dengan 11.6 juta orang, mengatasi Kuala Lumpur (9.8 juta), Johor (7.4 juta), Selangor (6.1 juta) dan Pulau Pinang (5.2 juta).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan & Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man, lima daerah yang menunjukkan peningkatan ketara ialah Bentong, Kuantan, Cameron Highlands, Temerloh dan Rompin. Destinasi popular seperti Genting Highlands, Cameron Highlands, Kuantan, Cherating dan Pulau Tioman terus menarik perhatian pelancong, menjadikan Pahang sebagai hab pelancongan utama negara.
Dengan prestasi memberangsangkan ini, Pahang dijangka terus menjadi pilihan utama pelancong, bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan tetapi juga pelawat antarabangsa.-SAHIH