Pahang Kedua Tertinggi Gerakan Koperasi Negara
Pahang Kedua Tertinggi Gerakan Koperasi Negara
LIPIS: Pahang mengekalkan kedudukan sebagai negeri kedua tertinggi di Malaysia dari segi perolehan gerakan koperasi, dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 bilion pada 2024, sekali gus menunjukkan potensi besar sektor koperasi di negeri ini untuk terus berkembang pesat.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang, Ibrahim Husain, berkata berdasarkan prestasi semasa sehingga Jun 2025, pihaknya yakin perolehan keseluruhan akan melebihi RM1 bilion tahun ini.
“Pada 2024, jumlah perolehan koperasi di Pahang mencecah RM979 juta, sedikit menurun berbanding RM1.02 bilion pada 2023, namun Pahang kekal di tempat kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat SuperBowl Bowling Koperasi Wanita (WI) Daerah Lipis Berhad, yang mencatat sejarah sebagai koperasi wanita pertama di Malaysia memiliki dan menguruskan pusat bowling sendiri.
Ibrahim berkata, pencapaian koperasi wanita itu membuktikan golongan wanita kini mampu menceburi bidang perniagaan moden dan menjana ekonomi setempat.
“Koperasi WI Daerah Lipis bukan sekadar mengendalikan pusat bowling, tetapi turut menyediakan taman permainan dan pusat rekreasi keluarga.
Ia langkah ke hadapan yang wajar dicontohi koperasi wanita lain untuk terus aktif dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, terdapat 1,173 koperasi berdaftar di Pahang dengan lebih 200,000 ahli wanita yang menjadi anggota aktif pelbagai koperasi di seluruh negeri.

“Bagaimanapun, masih banyak koperasi wanita yang tidak aktif. Kebanyakan mereka lebih fokus kepada perniagaan individu berbanding bergiat secara berkumpulan.
Jika tenaga dan kepakaran digabungkan, koperasi mampu memberi impak ekonomi lebih besar,” katanya.
Menurutnya lagi, Pahang turut mencatat kejayaan terbaik dalam pemulihan koperasi tidak aktif, apabila 23 koperasi berjaya diaktifkan semula setakat September lalu.
Dalam masa sama, beliau menyeru koperasi supaya memanfaatkan media sosial dan pengaruh influencer bagi memperkukuh promosi produk serta perkhidmatan masing-masing.
“Media sosial kini platform penting. Jika influencer mampu raih sejuta tontonan dalam masa 19 saat, koperasi juga perlu mengambil peluang sama untuk memperkenalkan produk mereka,” katanya.
Ibrahim berkata, inisiatif seperti yang dilakukan Koperasi WI Daerah Lipis membuktikan koperasi wanita bukan lagi aktiviti kecil, sebaliknya mampu menjadi entiti komersial yang menjana ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat.-SAHIH