PAHANG DAN UAE GANDING BAHU LINDUNG SPESIS HARIMAU MALAYA
PAHANG DAN UAE GANDING BAHU LINDUNG SPESIS HARIMAU MALAYA
ABU DHABI– Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli menyaksikan majlis tandatangan kerjasama strategik antara Pahang dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melindungi Harimau Malaya yang semakin kritikal populasinya.
Keberangkatan Tengku Mahkota Pahang turut diiringi Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed yang turut hadir menyaksikan perjanjian melibatkan kolaborasi dalam melindungi Harimau Malaya yang semakin kritikal populasinya.
Projek bernilai RM99.8 juta yang dibiayai oleh Tabung Pemuliharaan Spesies Mohamed bin Zayed ini memberi tumpuan kepada pemuliharaan spesies harimau, pemulihan habitat semula jadi serta pembangunan komuniti setempat.
Usaha ini akan dilaksanakan di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah yang merupakan kawasan perlindungan spesis berkenaan berkeluasan 1,340 kilometer persegi yang terletak bersebelahan dengan Taman Negara.
Antara keutamaan projek ini adalah menangani ancaman utama seperti pemburuan haram, kerosakan habitat sekaligus mengatasi isu kemerosotan populasi harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan.
Kerjasama ini secara rasmi diumumkan semasa Minggu Kelestarian Abu Dhabi dan perjanjian dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Enggang Holding, YM Tengku Dato’ Aiman Putra Bin Tengku Dato’ Sri Kamal Bahrin dan Presiden Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), Razan Al-Mubarak.
Tengku Mahkota Pahang dalam titahnya menyatakan penghargaan terhadap usaha bersama ini serta menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memulihkan populasi Harimau Malaya dan mengekalkan keseimbangan ekosistem global.
“Projek ini melambangkan komitmen kita untuk melindungi warisan alam semula jadi demi generasi akan datang.
“Melalui perpaduan dan usaha kolektif, kita akan dapat memulihkan habitat serta memastikan spesies ini terus hidup di habitat asalnya,” titah Paduka Baginda.
Titah Paduka Baginda lagi, langkah ini turut mencerminkan keprihatinan mendalam Malaysia dan UAE terhadap kelestarian alam sekitar, sekaligus membuka lembaran baharu dalam usaha global melindungi hidupan liar yang semakin terancam. -SAHIH