PAHANG CATAT HASIL LEBIH RM1 BILION UNTUK TAHUN KEEMPAT BERTURUT-TURUT
PAHANG CATAT HASIL LEBIH RM1 BILION UNTUK TAHUN KEEMPAT BERTURUT-TURUT
KUANTAN: Pahang sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila kutipan hasil negeri berjaya melepasi angka RM1 bilion bagi tahun keempat berturut-turut, sekali gus membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi secara mampan dan berhemah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pencapaian itu hasil daripada kepimpinan berwibawa serta dasar ekonomi yang memberi tumpuan kepada kemajuan rakyat dan kelestarian sumber negeri.
“Alhamdulillah, Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam kutipan hasil negeri. Ini membuktikan bahawa pentadbiran yang telus, berdisiplin dan berwawasan mampu memberikan impak besar kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut optimis mencapai sasaran Belanjawan 2025 dengan kutipan hasil sebanyak RM1.194 bilion, hasil pengurusan fiskal yang cekap dan strategi pembangunan yang memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
Menurutnya, pencapaian itu turut disumbang melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu termasuk pengurusan hasil tanah, peningkatan pelaburan strategik dan pembangunan luar bandar yang memberi kesan langsung kepada penduduk.
“Kerajaan negeri sentiasa memastikan setiap hasil yang diperoleh dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan, kebajikan serta kemudahan awam yang lebih baik,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kewangan khas kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Pahang, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan warga perkhidmatan awam.
Wan Rosdy berkata, kejayaan itu juga menjadi dorongan untuk meneruskan aspirasi ‘Pahang 1st’, dengan matlamat memastikan negeri terus maju dan makmur demi kesejahteraan seluruh rakyat.-SAHIH
