PAHANG BUKA 2 LAGI PKRC BERMULA ESOK
PAHANG BUKA 2 LAGI PKRC BERMULA ESOK
KUANTAN: Kerajaan Pahang akan membuka dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di daerah ini sebagai persediaan menangani peningkatan jumlah kes positif wabak itu sejak awal bulan ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pengoperasian pusat kuarantin bagi pesakit berisiko rendah itu diharapkan dapat memastikan sistem kesihatan di Pahang tidak lumpuh sekiranya pertambahan kes positif COVID-19 terus direkodkan di negeri ini.
“PKRC di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dijangka boleh beroperasi sepenuhnya esok dan satu lagi PKRC di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang sedang dalam proses disiapkan, kita jangka ia boleh mula digunakan dalam dua atau tiga hari lagi.
“Pembukaan PKRC di KUIPSAS ini menjadikan jumlah PKRC yang sedang beroperasi di Pahang kepada empat PKRC, selepas kita menggunakan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Kuantan; Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong dan Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Che Adam berkata, PKRC di KUIPSAS mampu memuatkan 200 pesakit berisiko rendah manakala jumlah pesakit yang boleh ditempatkan di PKRC Kompleks Sukan UMP pula akan dimaklumkan selepas semua persiapan teknikal membabitkan susun atur katil selesai dilakukan.
“Pertambahan PKRC yang dibuka di Pahang bukanlah bermakna situasi penularan wabak ini (COVID-19) berada di tahap membimbangkan… pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri hanya mengambil langkah awal untuk memastikan tidak berlaku situasi kelam-kabut jika saat terakhir baru kita nak buat (persiapan)
“Ingin saya maklumkan kepada semua rakyat Pahang bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri sedang melakukan usaha terbaik bagi membendung (penularan) wabak ini dan kita sangat berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama, terutamanya mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan,” katanya, – SAHIH