Pahang bina rumah PR1MA 240 unit pangsapuri 7 tingkat di Cameron Highlands
Foto : Datuk Seri Wan Rosdy melakukan upacara gimik pecah tanah di di sini, hari ini.
Pahang bina rumah PR1MA 240 unit pangsapuri 7 tingkat di Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS – Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh komitmen dalam menyediakan kediaman mampu milik dan selesa kepada rakyat
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai kesinambungan kepada pelan pembangunan perumahan negeri, projek baharu PR1MA di Ringlet akan dibangunkan melibatkan 240 unit pangsapuri 7 tingkat di atas tanah kerajaan seluas 10.76 ekar.
“Projek ini dijangka bukan sahaja memenuhi keperluan tempat tinggal, tetapi turut memacu pembangunan ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan dan infrastruktur baharu.
“Sebanyak 112 unit kediaman telah habis dijual sepenuhnya dan majlis hari ini merupakan simbolik penyerahan kunci kepada pembeli-pembeli yang berjaya memiliki rumah impian mereka,” katanya di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Makmur Tanah Rata Jaya, Cameron Highlands, hari ini.
Katanya, Projek PR1MA Pahang di Tanah Rata Jaya melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri setinggi 10 tingkat di atas tanah kerajaan seluas 4 ekar.
“Projek ini telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada April 2025 dan ditawarkan pada harga mampu milik sebanyak RM200,000 seunit.
“Kerajaan Negeri menyasarkan 946 unit rumah baharu dapat disiapkan melalui tujuh lagi projek PR1MA yang sedang dirancang dan dibina di daerah Kuantan, Jerantut, Rompin, Temerloh dan Lipis pada tahun ini,” katanya.
Katanya, setakat ini, sebanyak 46 projek PR1MA Pahang telah berjaya disiapkan, melibatkan 8,418 unit rumah dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.26 bilion.-SAHIH.