Pahang bersedia jadi pengeluar bawang
Foto : Pengarah Bahagian Pemasaran Segar FAMA, Hairuddin Yunos menunjukkan sebahagian bawang dari kebun diusahakan petani di Kampung Labu, Jerantut.
Pahang bersedia jadi pengeluar bawang
JERANTUT: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia untuk memasarkan hasil bawang diusahakan petani di daerah ini selepas kejayaan projek rintis tanaman bawang di Pahang.
Pengarah Kanan Bahagian Pemasaran Segar FAMA, Nor Salawaty Abd Kadir, berkata bawang terbukti sesuai ditanam di Jerantut, sekali gus menjadi daerah pertama di Pahang mengeluarkan hasil tani itu.
Beliau memberi contoh di Kampung Labu, seorang petani, Haslina Hassan bersedia untuk mengusahakan tanah seluas empat hektar dengan tanaman itu setelah berjaya memperoleh hasil tuaian pertama.
“Pada peringkat awal, beliau mengusahakan dua hektar tanaman bawang pada September lalu dan hasilnya dapat dituai bulan ini. Lebih membanggakan, beliau berjaya mengeluarkan kira-kira 20 tan bawang dari dua hektar tanah yang diusahakan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat projek penanaman diusahakan Haslina. Turut hadir, Pengarah Bahagian Pemasaran Segar FAMA, Hairuddin Yunos dan Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri.
Menurutnya, kejayaan itu hasil bimbingan berterusan Pejabat Pertanian Daerah Jerantut kepada petani di Kampung Labu dan Kampung Pasir menerusi projek rintis.
“Ini antara usaha gigih dipelopori di Pahang dalam mengembangkan pengeluaran bawang tempatan sebelum diperluaskan ke tempat lain. Bawang varieti Paribas ini boleh ditanam di sini kerana tanah dan cuaca sesuai, hasil boleh dituai dalam tiga bulan.
“Kejayaan petani di Jerantut dalam projek rintis di Pahang ini akan menjadikan bawang komoditi baharu yang dapat menjana pendapatan petani dan juga mampu memenuhi keperluan bawang tempatan.
“Petani bersedia meneruskan kejayaan ini dengan memulakan fasa kedua sebaik sahaja persiapan kawasan selesai. Projek bawang ini bukan sekadar usaha menanam, malah bukti keupayaan Pahang untuk menjadi pengeluar bawang berkualiti tinggi pada masa akan datang.
“Kejayaan fasa pertama ini menandakan permulaan kepada lebih banyak projek seumpamanya yang berpotensi di majukan, khususnya di kawasan tanah terbiar,” katanya.
Berharap projek itu terus maju dan memberi inspirasi kepada petani lain di seluruh Pahang untuk terlibat dalam penanaman bawang, Nor Salawaty berkata, usaha itu langkah penting ke arah mengurangkan kebergantungan negara kepada bawang import, selain kenaikan harga ketara.
“Negara mengimport 687,000 tan bawang pada 2022, 70 peratus daripada bekalan diperoleh dari India,” katanya.
Sumber : Berita Harian