Pahang berjaya bina 42,061 unit rumah untuk rakyat Pahang
Pahang berjaya bina 42,061 unit rumah untuk rakyat Pahang
BANDAR JENGKA 15 FEB- Kerajaan Pahang membina 42,061 unit rumah daripada 173 projek sejak Projek PR1MA Pahang dilancarkan pada 2013.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut 8,194 unit telah berjaya disiapkan, 1,769 unit dalam pembinaan, manakala bakinya 32,098 unit lagi dalam perancangan.
“Rumah PR1MA Pahang ini merupakan projek perumahan yang paling laris dijual dan mendapat permintaan tinggi daripada rakyat memandangkan rumahnya berkonsepkan berkembar (semi-D) dengan luas lantai 1,000 kaki persegi dan luas tanahnya 2,800 kaki persegi serta dijual pada harga RM150,000 seunit.
“Hari ini, sebanyak 58 unit PR1MA Pahang yang bernilai RM 8.7 juta dan 57 unit Rumah Makmur yang bernilai RM4.56 juta berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemiliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Prima Pahang, Rumah Makmur Bandar Jengka dan Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 5, di Bandar Jengka, hari ini.
Katanya, dalam usaha membangunkan negeri Pahang, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan aspek kesejahteraan rakyat, termasuk penyediaan perumahan mampu milik.
“Keperluan untuk memiliki rumah sendiri adalah antara perkara asas yang menjadi impian setiap individu, terutama bagi mereka yang baru membina keluarga dan golongan berpendapatan rendah serta sederhana.
“Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pelbagai inisiatif perumahan seperti PR1MA Pahang, Rumah Makmur dan Rumah Rakyat Pahang bagi memastikan rakyat negeri ini mampu memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Angsanapuri Development Sdn Bhd, Datuk Indera Norzan Ahmad memberitahu, ia adalah projek Fasa 1 dan berdepan kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) sebelum berjaya disiapkan pada tahun lepas.
Menurutnya, pembeli sudah boleh masuk ke rumah masing-masing bila-bila masa selepas hari ini( Jumaat) kerana segalanya sudah siap diduduki.
“Untuk Fasa 2 membabitkan 118 unit rumah PR1MA, kita sudah bermula dan memasuki tahap 20 peratus,” katanya.-SAHIH