PAHANG BAKAL MENJADI PENGELUAR KEJU TERBESAR
PAHANG BAKAL MENJADI PENGELUAR KEJU TERBESAR
JERANTUT: Kerajaan negeri bakal membekalkan produk keju terbesar di bahagian Pahang Barat setelah membuka pusat penternakan kerbau seluas 283 hektar (700 ekar) di Raub.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, projek bersepadu itu turut mengeluarkan susu kerbau untuk menjadikan sumber utama kepada produk pembuatan keju tersebut.
“Baka kerbau terbaik bakal dibawa masuk sebanyak kira-kira 500 ekor kerbau dan turut menjalani pemanian berhadas untuk mendapatkan baka yang berkualiti sebagai memperkasakan industri ternakan.
“Oleh itu, semua pemain industri penternakan diharapkan dapat mengemblengkan tenaga dan meningkatkan prestasi amalam ternakan terbaik bagi menghasilan produk berkualiti tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya di Majlis Sidang Penternakan Ruminan di Dewan Baquet, Majlis Daerah Jerantut, semalam.
Katanya, setakat ini pengeluaran daging lembu dan kerbau sebanyak 49 peratus, manakala kambing dan biri-biri sebanyak 10 peratus, masih banyak ruang untuk mempertingkatkan pengeluaran ternakan itu.
“Di daerah Jerantut terdapat banyak penternak dan dianggarkan nilai ternakan sehingga RM30.5 juta, sewajarnya peluang yang masih terbuka perlu direbut dan negeri Pahang adalah pengeluar lembu tertinggi di semenanjung bernilai RM1.7 billion, ” katanya.
Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, Dr Kamaliah Ghazali berkata, sidang perternakan yang diadakan di Jerantut itu sebagai nilai tambah kepada pengetahuan sedia ada bagi meningkatkan kualiti ternakan masing-masing.
“Pahang sebagai pengeluar susu agak tinggi kira-kira 31 juta liter dan penternak lembu seharusnya merebut peluang kerana masih banyak untuk dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran
“Selain itu, sebagai penternak perlu mengawal penyakit mulut dan kuku (FMD) bagi memastikan kualiti dan kesihatan ternakan sentiasa terbaik dan dikawal,” katanya.
Katanya, dari sudut peniagaan, kualiti di tahap tertinggi dan menjaga standard pengeksportan yang perlu diikuti sebagai menjaga nama baik negara dalam bidang ternakan.