PADERI WARGA KOREA CABUL 5 OKU
KUALA LUMPUR: Seorang paderi warga Korea dari gereja Persatuan Orang Pekak, ditahan pada 23 November lalu, kerana disyaki mencabul kehormatan lima lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) warga tempatan.
Kesemua mangsa yang juga penganut Kristian berusia antara 27 hingga 40 tahun yang pekak dan bisu kerap menghadiri kelas keagamaan di sekitar Pulau Pinang dan Selangor termasuk dikendalikan oleh suspek terbabit.
Menurut laporan BH Online, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata setakat ini, pihaknya menerima lima dan satu laporan masing-masing di Pulau Pinang dan Selangor berhubung kes berkenaan membabitkan suspek berusia 54 tahun.
GAMBAR HIASAN
“Kita terima laporan pertama pada 12 November lalu dan susulan itu, lima lagi laporan kes sama diterima. Suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak di mana keluarganya berada di Korea dan dia datang ke Malaysia atas pelawaan oleh pengasas Persatuan Orang Pekak untuk menjadi paderi dan mengajar di gereja itu sejak 1998.
“Mereka adalah penganut Kristian dan ahli Persatuan Orang Pekak. Mangsa kerap hadir kelas keagamaan dan aktiviti gereja di sekitar Pulau Pinang dan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Huzir berkata modus operandi suspek adalah berkenalan dengan mangsa ketika menghadiri kelas keagamaan dan aktiviti di gereja.
“Suspek mencabul mangsa dengan memeluk, mencium bibir dan menggeselkan kemaluannya dan kejadian dikatakan berlaku di gereja, dalam kereta dan rumah sewa suspek antara 2011 hingga 2016.
“Mangsa lewat membuat laporan polis kerana sebelum ini suspek sering mempengaruhi mangsa dengan mengatakan dia seorang pemimpin dan mereka perlu menuruti setiap arahannya,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati terdapat empat cawangan persatuan itu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Perak manakala dua cawangan di Sarawak iaitu di Sibu dan Kuching.
“Suspek direman selama tujuh hari berakhir 30 November lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara l, Pulau Pinang, sebelum dikuarantin hingga 8 Disember kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang tahanan yang disahkan positif COVID-19 di lokap.
“Suspek ditangkap semula bersabit laporan polis dibuat di Kepala Batas dan direman selama empat hari bagi siasatan dua kes di Pulau Pinang,” katanya.
Suspek direman selama enam hari bermula 13 Disember hingga esok bersabit laporan polis di Petaling Jaya, sebelum bakal berhadapan dengan dua tuduhan di Mahkamah Butterworth Pulau Pinang pada 21 Disember ini.