Padang rumput tiruan Jerantut perlu penyelenggaraan segera
Padang rumput tiruan Jerantut perlu penyelenggaraan segera
JERANTUT: Padang rumput tiruan milik Persatuan Bolasepak Jerantut (FA Jerantut) memerlukan kerja penyelenggaraan khusus bagi memastikan kemudahan itu terus berfungsi baik dan menjadi pusat pembangunan sukan bola sepak daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Lantikan Negeri Pahang, Haris Salleh Hamzah, berkata padang berusia hampir 15 tahun itu menunjukkan tanda-tanda kerosakan yang ketara termasuk masalah takungan air selepas hujan di bahagian tengah dan tepi padang.
“Hari ini kita lihat keadaan padang ini sudah memerlukan penyelenggaraan oleh pihak yang benar-benar mempunyai kepakaran dalam penyelenggaraan padang tiruan. Kita akan menilai sama ada perlu baik pulih atau diganti baharu kerana kosnya agak tinggi.
”Usaha seperti ini perlu dibincangkan dengan pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) serta mengangkat perkara itu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan perhatian sewajarnya,” katanya.
Katanya, padang itu antara yang terbaik di Pahang Barat dan sering menjadi gelanggang utama bagi perlawanan domestik daerah serta pernah digunakan oleh pasukan kelab dan negeri dalam Liga Malaysia untuk sesi pemanas badan.
“Padang tiruan ini semakin popular kerana ketahanannya, penyelenggaraan rendah dan kebolehmainan yang konsisten,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Jerantut baru-baru ini, permohonan rasmi bagi kerja baik pulih dan naik taraf padang berkenaan telah diserahkan.
“Padang ini bukan sekadar gelanggang bola sepak, tetapi simbol kebersamaan masyarakat. Dengan sokongan kerajaan Persekutuan, saya yakin Padang FA Jerantut akan kembali sebagai pusat sukan dan riadah yang membanggakan rakyat Jerantut,” katanya.-SAHIH.