PADAH HINA SULTAN PAHANG, BURUH DIPENJARA SEHARI, DENDA RM8,000
PADAH HINA SULTAN PAHANG, BURUH DIPENJARA SEHARI, DENDA RM8,000
TEMERLOH: Seorang buruh dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran jelek mengenai Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Facebook tahun lalu.
Hakim Manira Mohd Nor juga memerintahkan Yusaini Razab @ Che Soh, 42, yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan, menjalani hukuman penjara selama tiga bulan, sekiranya gagal menjelaskan denda itu.
Yusaini dituduh membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelek dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebook menggunakan nama profil Al Naml yang menyentuh Sultan Abdullah, yang juga Yang di-Pertuan Agong, yang telah dibaca pada 9 malam, 7 Mac tahun lalu di sebuah rumah di Maran.
Pada penghakimannya, Manira berkata, hukuman itu mengambil kira rayuan tertuduh, selain kesalahan tertuduh yang serius melibatkan penghinaan kepada institusi kesultanan.
Ia diharapkan menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara amnya, tambah beliau.
“Kamu kena lebih berhati-hati selepas ini semasa memuat naik apa-apa kandungan di media sosial.
“Penghinaan kepada institusi diraja adalah sesuatu yang perlu dikekang dan mahkamah perlu memberi pengajaran,” katanya.
Yusaini didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Dia juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Tertuduh ditangkap pada 17 Jun tahun lalu selepas polis menerima laporan daripada orang awam yang membawa kepada rampasan sebuah telefon pintar yang dipercayai digunakan tertuduh bagi memuat naik hantaran tersebut, lapor Bernama.
Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilah Md Ali memohon hukuman sewajarnya kerana tindakan tertuduh memuat naik komen jelek terhadap institusi diraja adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab, dan mengganggu keharmonian rakyat.
Yusaini yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman denda terhadapnya diringankan memandangkan pendapatan bulanannya hanya sekitar RM1,500 dan dia menyara ibu yang tua, selain telah insaf atas kesalahannya.