PACMAN SEDIA LAWAN McGREGOR
Berita Sukan
PACMAN SEDIA LAWAN McGREGOR
LOS ANGELES: Manny Pacquiao dilapor sedang mempertimbangkan untuk bertarung dengan bintang seni bela diri campuran (MMA) dari Ireland, Conor McGregor dalam perancangannya untuk kembali ke gelanggang, kata wakil petinju dari Filipina itu kepada AFP.
Sean Gibbons yang juga presiden promosi Pacquiao, berkata pertarungan antara juara dunia dalam lapan divisyen itu dengan McGregor pastinya akan menjadi acara global yang luar biasa.
Pacquiao, 41, sudah tidak bertarung sejak meraih gelaran WBA welterweight hasil kemenangan bergaya ke atas Keith Thurman di Las Vegas pada Julai tahun lalu.
Dia berjaya mengimbangi kerjayanya sebagai ahli politik di Filipina yang mana dia dilantik sebagai senator dan dalam masa sama masih bertinju di peringkat tertinggi.
Gibbons, berkata biarpun masih belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai pertarungan kedua-dua jaguh dunia itu, namun ia salah satu pertarungan yang dipertimbangan secara serius oleh Pacquiao untuk dia kembali ke gelanggang.
“Idea untuk melihat pertarungan antara Senator Pacquiao deengan Conor McGregor sudah beberapa kali dikemukakan,” kata Gibbons yang menambah McGregor sudah membuktikan yang dia mampu memberi cabaran kepada jaguh tinju dunia menerusi pertarungannya dengan Mayweather sebelum ini.
Terdahulu, McGregor menerusi ciapan di Twitter memberitahu yang dia akan bertarung dengan Pacquiao di Timur Tengah.
“Ia adalah satu penghormatan apabila dapat berdepan dua jaguh tinju dunia dalam era moden,” katanya.
Sumber: AFP