ORANG RAMAI SAMBUT BAIK UJIAN ‘SWAB’ SECARA PANDU LALU
ORANG RAMAI SAMBUT BAIK UJIAN ‘SWAB’ SECARA PANDU LALU
DIADAKAN DI STESEN BAS DAN TEKSI JERANTUT
JERANTUT: Orang ramai yang menjalani ujian saringan ‘mass sampling’ RTK-Ag (swab hidung) secara pandu lalu, memuji langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut untuk mencegah penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa di negara ini.
Ujian itu dijalankan di Stesen Bas dan Teksi Jerantut bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang, bermula hari ini sehingga Jumaat kepada penduduk di 64 kawasan taman perumahan dan penempatan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Jerantut.
Seramai kira-kira 25 orang anggota PKD Jerantut termasuk doktor menjalankan ujian itu kepada orang ramai.
Seorang surirumah, Mariam Bahari (60) yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Bandar Baharu Jerantut berkata, program yang sangat bagus dan memudahkan secara pandu lalu serta cepat dan selamat untuk mencegah penularan wabak.
Penduduk (PAKR), Bandar Baharu Jerantut, Sharif Abu Bakar (64), menyokong program ujian calitan itu untuk mendapatkan ‘swab’ untuk mengetahui tubuh seseorang itu sihat selain mencegah, orang ramai sewajarnya memberi kerjasama kepada kerajaan melakukan ujian calitan serta untuk mendapatkan vaksin.
Ibu muda, Rosniza Muda (43) berkata, program itu yang dilakukan secara pandu lalu untuk keselamatan bersama dan mengajak orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan PKPD melakukan ujian ‘swab’.
Penduduk PAKR Bandar Baharu Jerantut, Sanggari (20) berkata, cara ujian pandu lalu sangat cepat serta selamat demi kesihatan khususnya penduduk di Jerantut.
Penduduk Taman Mutiara, Ahmad Nazri Arifin berkata, program secara pandu lalu memberi kemudahan dan tidak perlu turun kereta atau motosikal dan percuma, berharap penduduk merebut peluang untuk membuat ujian ‘swab’.
Program saringan itu dilakukan secara sukarela untuk penduduk yang berumur 18 tahun dan ke atas serta diutamakan kepada penduduk di kawasan ‘hotspot’ yang melibatkan ahli keluarga yang aktif bergerak seperti ketua keluarga atau isteri dan anak serta warga emas yang ada pergerakan keluar masuk dari kawasan kediaman.
Manakala penduduk di kawasan lain akan dipanggil dari masa ke semasa bergantung atas lokaliti kes Covid-19 dan akan dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut secara harian.
Penduduk di dalam lokaliti PKPD yang lain yang mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak juga dijemput datang untuk pengambilan sampel.
Disebabkan ini adalah saringan survelan, Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut akan menghubungi individu jika ujian mendapati positif. Jika tidak dihubungi oleh PKD Jerantut, bermakna keputusan ujian adalah negatif.-SAHIH.