Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia gelombang kedua hujan lebat dan ribut-Polis
Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia gelombang kedua hujan lebat dan ribut-Polis
JERANTUT – Orang ramai di daerah ini dikehendaki bersiap sedia dan berhati-hati serta sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan angin luruan monsun yang diramalkan berlaku mulai pada 27 Disember sehingga 2 Januari 2022.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, dinasihatkan orang ramai patuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah lebih awal ke tempat selamat dan simpan semua dokumen penting serta bekalan makanan dan bahan api mencukupi.
Katanya, mengikut Jabatan Meterologi ramalan itu untuk memberi maklumat awal kepada orang ramai untuk bersedia dan sentiasa mengikut perkembangan terkini ramalan cuaca yang dikeluarkan.
“Semua pengusaha kedai berkhemah berhati-hati dibimbangi angin bertiup kencang dan membadai khemah penjual dan boleh membawa kecederaan daripada layangan besi-besi khemah masing-masing.
“Selain itu, turut berhati-hati dalam perjalanan di kawasan yang banyak pokok besar kerana angin kuat boleh mengundang pokok tumbang di jalan raya.
Katanya, majlis kenduri kahwin dan sebagainya wajar dijadual semula diadakan pada tempoh tersebut kerana bakal berlaku banjir kerana jemputan bukan dari daerah ini sahaja, malah mungkin jemputan luar daerah ini akan terperangkap tidak dapat pulang ke tempat masing-masing.
Katanya, pelancong domestik dari luar daerah ke Taman Negara Kuala Tahan perlu merancang semula perjalanan dan sering mengikuti maklumat ramalan cuaca dan patuhi arahan semasa dari pihak berkuasa.
“Diharap sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan gejala omicron yang berlaku dan dibimbangi oleh orang ramai ketika ini.
Mazlan berkata, selain itu, berhati-hati dengan binatang berbisa ular dan sebagainya yang sesat ke kediaman masing-masing.
“Orang awam yang menggunakan perkhidmatan bot penambang diwajibkan memakai jeket keselamatan walaupun di tempat rendah yang sering dinaiki air dan jangan cuba meredah banjir dilaluan yang digenangi air kerana boleh membawa kecelakaan sekiranya tersilap laluan.
“Bot-bot di Sungai Pahang perlu disimpan di tempat selamat bagi mengelakkan kehilangan dan dihanyutkan akibat air deras dan banjir, kita berdoa agar semua diberi keselamatan dan kesejahteraan dengan musibah dan ujian daripada Allah SWT,” katanya.-SAHIH.