Orang Asli Pahang perlu berubah dan berani bersaing dalam bidang pertanian
Orang Asli Pahang perlu berubah dan berani bersaing dalam bidang pertanian
JERANTUT – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang mahu Orang Asli sebagai penduduk pribumi di negeri ini berani berubah dan bersaing dengan kaum lain khususnya dalam bidang pertanian bagi membantu meningkatkan Sekuriti Makanan Negara.
Orang Asli di negeri ini disarankan menceburi diri dalam bidang pertanian terutama penanaman durian selain tanaman pertanian lain yang diusahakan sebelum ini.
Timbalan Pengarah JAKOA, Ahmad Marzuki Salleh berkata, pertanian memang dekat dengan masyarakat Orang Asli, sewajarnya berani berubah dengan menceburi diri dalam tanaman durian di kawasan penempatan mereka.
“Diharap kita (Orang Asli) kena berubah sikap, berusaha serta merancang dalam apa jua bidang yang kita ceburi dengan tidak seratus peratus bergantung kepada bantuan, kita sudah biasa dalam bidang pertanian, tidak ada masalah untuk berubah menanam durian.
“Peringkat awal memang kita kena dibantu, tetapi selepas sesuatu tempoh kita perlu berusaha sendiri memasarkan produk atau hasil kita untuk mendapat perhatian orang luar,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penutup rasmi Kursus Agronomi Tanaman durian anjuran JAKOA dan Jabatan Pertanian Pahang di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Pertanian Daerah Jerantut, Rafeah Rabiatun Othman.
Katanya, kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sangat mengambil berat berkaitan dengan kebajikan Orang Asli.
“Datuk Seri Wan Rosdy mahu perbanyakkan pelbagai bantuan dan juga kursus serta latihan kemahiran kepada masyarakat Orang Asli bagi meningkatkan gaya dan tahap hidup masyarakat.
“Kita tidak boleh sentiasa mengharapkan bantuan, tahun 2022 sangat mencabar dan kita perlu sedia berhadapan dengan situasi semasa negara dan dunia,” katanya.
Wakil peserta kursus dari Kampung Gedik, Kuantan, Kamaruddiin A/L Samad berkata, pengalaman mengikuti kursus itu memberi banyak manfaat kepada peserta terutama pada suku kaum yang datang dari seluruh Pahang.
“Saya pernah menanam durian 20 tahun lalu telah mendapat ejekkan dari rakan sekampung, mereka pemperkatakan hasil durian murah apabila berlaku lambakkan durian.
“Rupanya, durian boleh juga menjadi salah satu bahan dalam pembuatan kosmetik, selain produk berasakan makanan seperti crepe durian, di kursus ini kami banyak didedahkan cara pembuatannya,” katanya.
Katanya, dia berterima kasih kepada tenaga pengajar daripada Jabatan Pertanian yang menyampaikan ceramah dengan santai dan mudah difahami dan ini memberi semangat kepada mereka untuk melaksanakan apa yang telah disampaikan nanti.
Seorang peserta kursus, Joti a/p Ramli daripada Pos Manson, Cameron Highlands berkata, walaupun dia sudah ada sedikit pokok durian di kebunnya tetapi kehadirannya di kursus membuka matanya dalam penjagaan kebun durian.
“Selain pembajaan yang betul, kursus ini memberi pendedahan berkaitan dengan merawat pokok durian, cara perlindungan daripada serangga.
“Selama ini, saya tahu membaja sahaja, malah tidak mengetahui penggunaan baja yang betul bagi mendapatkan hasil yang berbaloi,” katanya.
Katanya, durian juga boleh dieksport keluar negara dengan kaedah yang canggih dan betul dan mempunyai pasaran yang luas ke luar negara.-SAHIH.