Ops Khas JPJ bongkar pelbagai kesalahan, 133 kenderaan disita
Ops Khas JPJ bongkar pelbagai kesalahan, 133 kenderaan disita
BENTONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membongkar pelbagai kesalahan lalu lintas apabila mengeluarkan 1,203 saman serta menyita 133 kenderaan pelbagai jenis dalam Operasi Khas yang dilaksanakan di beberapa lokasi strategik di laluan Selangor–Gombak hingga Pahang–Genting Sempah, hari ini.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Mohd Kifli Ma Hassan, berkata operasi khas motosikal yang dijalankan dari 8 pagi hingga 1 tengah hari itu dilaksanakan susulan peningkatan ketara kesalahan melibatkan penunggang motosikal, selain turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan ke atas kenderaan mewah.
Menurutnya, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama JPJ Pahang, JPJ Selangor, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan JPJ Negeri Sembilan, selain dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi berkaitan.
“Berdasarkan statistik sitaan hari ini, jelas menunjukkan kesalahan melibatkan motosikal berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Stesen Penguatkuasaan JPJ Karak, di sini, hari ini.
Mohd Kifli berkata, kenderaan yang disita terdiri daripada 102 motosikal bawah 250cc, lapan motosikal melebihi 250cc, enam kereta mewah, 15 kereta penumpang, serta masing-masing sebuah van dan sebuah lori.
Menurutnya, bermula tahun ini, JPJ akan melaksanakan tindakan sitaan secara lebih agresif, khususnya terhadap kenderaan yang gagal memperbaharui cukai jalan dan tidak mempunyai perlindungan insurans.
Beliau berkata, antara kesalahan paling kerap dikesan ialah tiada lesen memandu (274 saman), cukai jalan tamat tempoh (232 saman), tiada perlindungan insurans (193 saman) dan lain-lain kesalahan (239 saman).
Dalam pada itu, Mohd Kifli berkata, kesalahan utama membabitkan kenderaan mewah adalah kegagalan memperbaharui cukai jalan dan tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
Tambahnya, sebuah kereta mewah jenis Mercedes-Benz yang disita didapati menggunakan nombor pendaftaran milik kenderaan lain, sekali gus melanggar Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mempamerkan nombor pendaftaran palsu atau bukan milik kenderaan berkenaan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000, atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, penggunaan nombor pendaftaran palsu dikenal pasti sebagai antara trend kesalahan baharu yang dipercayai bertujuan mengelak dikesan kamera perangkap had laju.
Mohd Kifli menegaskan, JPJ akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara agresif sepanjang tahun ini dan tidak akan berkompromi dalam menyita kenderaan yang didapati melanggar undang-undang bagi membendung kesalahan lalu lintas.-SAHIH
