OPERASI PASAR MALAM, CAR BOOT SALES DIHADKAN
Berita Nasional
OPERASI PASAR MALAM, CAR BOOT SALES DIHADKAN
KUANTAN: Operasi pasar malam dan jualan dari but kereta atau car boot sales di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hanya dibenarkan sehingga 10 malam.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal, berkata arahan berkuat kuasa sejak 3 Oktober itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Katanya, tindakan perundangan akan dikenakan terhadap peniaga dan penjaja yang didapati ingkar arahan terbabit.
“Setakat ini, kita berpuas hati dengan komitmen semua peniaga dan penjaja yang mematuhi arahan operasi perniagaan sehingga 10 malam sahaja.
“Hanya pasar malam Sungai Isap dan Bukit Rangin, di sini yang ditutup buat sementara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, beliau meminta pengunjung pasar malam dan car boot sales mendaftarkan kedatangan mereka, selain memakai pelitup muka.
Katanya, pendaftaran itu penting sekiranya berlaku kes jangkitan bagi membantu mengesan pengunjung pasar terbabit.
“Oleh itu, kerjasama semua pihak terutama, peniaga dan pengunjung amat diperlukan untuk bersama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.