OPERASI MUSNAH KEBUN DURIAN DI HUTAN SIMPAN KEKAL BATU TALAM, RAUB
OPERASI MUSNAH KEBUN DURIAN DI HUTAN SIMPAN KEKAL BATU TALAM, RAUB
PEGAWAI JABATAN BERKAITAN DIHALANG DAN DIPROVOKASI OLEH PEKEBUN
RAUB: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bersama-sama Agensi Kerajaan Negeri telah menjalankan Operasi Memusnahkan Kebun Haram Durian yang diusahakan oleh pekebun di sekitar Daerah Raub, semalam.
Operasi itu turut mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah memberi tumpuan di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Batu Talam dengan anggaran keluasan kira-kira 101 hektar (250 ekar).
Pengarah JPNP, Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, operasi bersepadu selama sebulan bermula semalam hingga bulan depan itu membabitkan pelbagai agensi dan tertumpu dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam.
“Operasi yang diadakan ini, tertumpu kepada tindakan memusnahkan kesemua tanaman durian yang telah ditanam secara haram oleh pekebun-pekebun itu dan disamping itu juga anggota Operasi akan membuat tangkapan ke atas mana-mana individu atau pekebun yang memasuki kedalam kawasan HSK tanpa kebenaran.
“Jabatan itu turut akan menyita apa-apa jua barang dan kenderaan yang dibawa bagi apa-apa tujuan ke dalam kawasan HSK,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan.
Katanya, sepanjang Operasi ini dijalankan, pihak Jabatan berdepan dengan keadaan provokasi oleh pekebun haram, mereka bertindak dengan melakukan halangan kepada kenderaan jabatan untuk keluar dan masuk ke kawasan itu.
“Ini termasuk menghalang anggota dari menjalankan tugas, oleh itu beberapa laporan polis serta rakaman video telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan susulan.
“Pada hari ni sahaja (semalam), pihak Jabatan telah menahan seramai 18 orang yang disyaki pekebun haram kerana telah memasuki kawasan HSK tanpa kebenaran dan telah membuat provokasi yang melampau kepada anggota jabatan, “katanya.
Mohd Hizamri berkata, kesemua 18 orang ini telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk dibuat tahanan reman dan akan disiasat selanjutnya serta diambil tindakan dibawah peruntukan Akta Perhutanan Negara.
Pegawai Penyiasat Jabatan akan menjalankan tugas-tugas siasatan selanjutnya bagi memastikan kesemua pekebun haram ini dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.-SAHIH.