OPERASI KASINO GENTING DITUTUP BERMULA TENGAH MALAM INI
OPERASI KASINO GENTING DITUTUP BERMULA TENGAH MALAM INI
KUANTAN: Semua operasi membabitkan kasino di pusat peranginan Genting Highlands, dekat Bentong, akan ditutup sepenuhnya bermula tengah malam ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika diminta mengulas mengenai aktiviti di kasino berkenaan masih berjalan seperti biasa, walaupun selepas dikaitkan dengan beberapa kes positif COVID-19.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan
“Buat masa ini, memang (kasino) masih beroperasi dan kita sudah mengarahkan pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melakukan pemantauan bagi memastikan pihak terbabit mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa tengah malam ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan premis lain di sekitar pusat peranginan terbabit sudah menghentikan operasi mereka sejak minggu lalu.
“Kita tidak mengeluarkan kompaun kepada mereka (pengendali kasino) kerana mereka mempunyai kebenaran untuk beroperasi sebelum ini,” katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Mei lalu, mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah yang dikatakan mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan pelancong terbabit mengunjungi kasino terbabit atau tidak.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan SOP lebih ketat dikenakan terhadap sektor ekonomi, berkuatkuasa esok.
Difahamkan, operasi pusat perjudian berlesen termasuk kasino terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.-SAHIH