OPEL & MIE: Inovasi Pendidikan SEJAYA Tingkat Disiplin dan Prestasi Pelajar
Foto : Bangunan utama SMK Cheras, Jaya (SEJAYA), Selangor.
OPEL & MIE: Inovasi Pendidikan SEJAYA Tingkat Disiplin dan Prestasi Pelajar
Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya (SEJAYA) melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) di bawah Unit Hal Ehwal Murid (HEM) melaksanakan dua inovasi pendidikan iaitu Operasi Murid Lewat (OPEL) dan Masa Itu Emas (MIE) yang terbukti memberi impak besar kepada disiplin dan pencapaian akademik pelajar.
OPEL, yang bermula pada tahun 2022, diwujudkan bagi mengatasi masalah kehadiran lewat ke sekolah dalam kalangan pelajar. Pendekatan program ini berbeza kerana pelajar yang sering lewat disantuni secara bijak tanpa memalukan mereka atau menimbulkan konflik dengan ibu bapa. OPEL menekankan kepentingan ketepatan masa, pembentukan sahsiah positif, kesedaran tentang kesan perbuatan lewat hadir, peningkatan kerohanian, serta penguasaan Bahasa Melayu. Keberkesanannya terbukti apabila sejak pelaksanaan, rekod kelewatan pelajar berjaya dikurangkan kepada sifar.

Lima guru SEJAYA dari kanan, Hasniza Ab Wahab, Syakirah Ab Razak, Norliza Ghazali, Fadzilah Mahadi dan Tengku Nur Nadiea Raja Zora pada Karnival Memacu Reformasi Pendidikan Madani 2025 Peringkat Antarabangsa.
Sementara itu, MIE yang dilancar pada April 2024 memberi fokus kepada pengurusan masa belajar secara terancang di rumah melalui Jadual Waktu Kendiri (JWK). Program ini melibatkan lima fasa iaitu bengkel penyediaan jadual, pembinaan JWK oleh pelajar, pemurnian jadual oleh Guru Bimbingan & Kaunseling Sepenuh Masa (GBKSM), pelaksanaan bersama ibu bapa, dan pemantauan berkala.
MIE disasarkan kepada 100 pelajar Tingkatan Lima yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Hasil pelaksanaan sehingga Januari 2025 menunjukkan peningkatan Gred Purata Individu (GPI) antara 0.8 hingga 2.33 dalam peperiksaan pertengahan tahun. Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi akademik tetapi turut membentuk budaya pembelajaran yang lebih sistematik, berdisiplin, dan berkesan di rumah.
Kejayaan kedua-dua program ini adalah hasil komitmen tenaga guru yang terlibat, Norliza Ghazali, Fadzilah Mahadi (OPEL), Syakirah Ab Razak, Hasniza Ab Wahab, serta Tengku Nur Nadiea Raja Zora (MIE). Mereka mendapat sokongan padu daripada pihak pentadbiran sekolah serta mantan pengetua yang mencetuskan idea asal.
OPEL dan MIE membuktikan bahawa inovasi pendidikan yang dirancang rapi dan dilaksanakan secara berterusan mampu menghasilkan perubahan positif terhadap disiplin, motivasi, dan pencapaian pelajar. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Reformasi Pendidikan Madani Kementerian Pendidikan Malaysia yang menekankan kualiti, keberkesanan, dan kesejahteraan dalam pendidikan.
