Olahragawan Sukan Sukma 2022 balik SMK Permas Jaya 2
Foto atas : Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize berada di tengah-tengah himpunan pelajar SMK Permas Jaya 2, Pasir Gudang, Johor yang menyambut kedatangan beliau ke sekolah itu selepas dinobatkan Olahragawan Kebangsaan Sukma 2022.
Olahragawan Sukan Sukma 2022 balik SMK Permas Jaya 2
PASIR GUDANG – Olahragawan Kebangsaan Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize turut berkongsi kejayaan dengan menyuntik semangat kesukanan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2 (SMKPJ2), Pasir Gudang, Johor dalam Majlis Wawancara Tokoh Sukan, baru-baru ini.
Fakhrullah yang berasal dari Kampung Bakar Batu, Johor dinobatkan untuk merangkul anugerah itu selepas berjaya meraih sembilan emas dalam acara individu dan berkumpulan sukan kanu.
Beliau merupakan bekas pelajar SMK Permas Jaya 2 yang mula aktif dalam sukan berkenaan selepas menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Atlet kanu yang berusia 21 tahun itu yang mewakili Johor Darul Takzim itu turut mencipta sejarah apabila berjaya mencatat dua rekod baharu kebangsaan.
Pingat emas yang diraihnya menerusi acara K2 500m (rekod kebangsaan), K2 1,000m (rekod kebangsaan), K1 200m, K2 200m, TBR 1,000m, TBR 500m, TBR 500 campuran, TBR 200m dan TBR 200m campuran.
Katanya, dia tidak menjangkakan mampu memenangi sembilan acara yang disertai dan meraih sembilan pingat emas yang melayakkan dirinya mendapat bonus apabila disytiharkan sebagai Olahragawan Kebangsaan Sukma.
“Ketika berjaya mendapat emas ketujuh, wartawan media ada memaklumkan kepada saya bahawa kemungkinan akan dinobatkan Olahragawan Sukma, tapi saya menggangap perkara ini sebagai satu bonus supaya tidak terlalu tertekan untuk memberi tumpuan kepada acara seterusnya.
“Apabila nama disebut untuk naik ke atas pentas, saya tidak menjangkakan akan menerima trofi daripada seorang pelumba basikal trek professional Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang, kerana ketika itu di belakang tabir hanya kelihatan Datuk Nicol David dan Datuk Lee Chong Wei, pada masa sama saya berasakan aura ‘champion’ ketika bersama Datuk Azizulhasni,” katanya.
Dia bermula berjinak dengan sukan itu ketika berusia 15 tahun selepas selesai menduduki PT3 dan seorang rakan mengajak dia untuk bersama-sama berlatih kanu.
“Pada ketika itu, saya berminat sukan bola sepak, bagaimanapun semuanya berubah apabila rakannya itu tidak dapat meneruskan perjuangan dalam sukan kanu kerana beberapa masalah serta kesan kemalangan menimpanya.
“Oleh itu, saya bersama rakan lain mengambil keputusan untuk teruskan tekun berlatih sehingga mampu menjadi wakil SMK Permas Jaya 2 dalam pertandingan yang diadakan di samping fokus kepada semi pro dan profesional ketika berusia 16 tahun sudah menyertai Sukan Peringkat Negeri Johor serta berjaya menang emas pertama,” katanya.
Tambahnya, tanpa disedari dia hampir lapan tahun menjadi atlet kanu dan sudah lima tahun sebagai atlet semi pro yang menfokus pada ketika itu ke arah sprint.
Seawal usia 18 tahun dia sudah mewakili negara dalam pertandingan Asia Tenggara di Thailand serta berjaya mendapat pingat emas sulung iaitu dua emas dan sembilan gangsa.
Katanya, dia mendapat peluang untuk menjalani latihan di luar negara iaitu pada tahun 2021 di dua negara, Portugal dan Monteno Ovenho selama dua minggu dan turut menyertai pertandingan semi final pada Kejohanan Dunia Junior kedua di Hungary bersama-sama 13 atlet bertaraf dunia manakala program latihan sangat berlainan di Malaysia.
“Sokongan dan dorongan khusus daripada ibu bapanya serta ahli keluarga, jurulatih dan individu di sekeliling banyak menyuntik semangat untuk saya melakukan sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh termasuklah Majlis Sukan Negeri Johor menyarankan untuk menjadi atlet semi pro.
“Sukma ini merupakan permulaan dan tapak untuk diserapkan dalam kumpulan kebangsaan seterusnya mewakili negara dalam kejohanan besar dan berprestij yang akan menguji serta membuka cabaran lebih besar dan hebat.
Katanya, dia hadir ke SMK Permas Jaya 2 ini dan kebetulan hasrat itu tercapai dengan diiringin kejayaan besar sebagai atlet kanu untuk dikongsikan bersama-sama guru, warga sekolah dan rakan pelajar kerana turut penyuntik semangat untuk memburu kecemerlangan.
Sementara itu, seorang guru sekolah berkenaan, Roszaidi Ramlee menyifatkan kehadiran Fakhrullah selepas merangkul anugerah olahragawan berkenaan amat bermakna kepada SMK Permas Jaya 2 kerana menyuntik motivasi kepada pelajar untuk turut berjaya dalam sukan seperti beliau.
“Belajar bersungguh-sungguh bagi menjadi pelajar cemerlang dan menjadi kebanggaan ibu bapa serta guru bukanlah penghalang turut berjaya dalam bidang sukan asalkan bijak membahagikan masa untuk belajar serta mengulang kaji pelajaran,” katanya. -SAHIH.