OKU 71 tahun mengensot ke bilik air, tetap berdikari
Foto : Bidin dibantu oleh Noor Izam dan isterinya di Felda Sungai Tekam, Jerantut
OKU 71 tahun mengensot ke bilik air, tetap berdikari
JERANTUT – Kekurangan fizikal sejak lahir tidak pernah mematahkan semangat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), Bidin Ariffin, 71, untuk terus berdikari menguruskan kehidupan hariannya tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
Menetap di Felda Sungai Tekam di sini, Bidin yang tidak mampu berdiri atau berjalan akibat kecacatan pada lutut dan kaki tetap berusaha melakukan rutin harian termasuk bergerak secara mengensot ke bilik air yang dibina khas bagi memudahkannya.
Walaupun berdepan kekangan fizikal, Bidin tidak pernah menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab diri. Malah, beliau terus berpuasa setiap tahun sejak usia remaja hingga kini.
Anak saudaranya, Noor Izam Ahmad, 53, berkata, Bidin masih berusaha menguruskan diri selagi termampu dan hanya memerlukan bantuan bagi pergerakan ke kawasan tertentu seperti ruang tamu atau halaman rumah.
Menurutnya, Bidin lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik, namun tetap berinteraksi dengan jiran atau kenalan yang datang menziarah.
“Setakat ini, Pak Lang tidak mempunyai penyakit serius kecuali darah tinggi yang dikesan pada 2023,” katanya.
Noor Izam turut memaklumkan bahawa beliau sebelum ini menetap di Semenyih, Selangor sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung bagi menjaga kebajikan bapa saudaranya itu.
Bagaimanapun, katanya, keluarga kini berdepan cabaran kewangan selepas bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dihentikan.
Beliau berkata, kos keperluan harian Bidin termasuk lampin pakai buang dan susu khas mencecah kira-kira RM2,000 sebulan, manakala keseluruhan perbelanjaan keluarga hampir RM5,000 sebulan.
“Pendapatan daripada hasil sawit sekitar RM1,000 sebulan masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Izam atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional, no akaun : 0610541000057673 – Bidin Ariffin.-SAHIH.
