OKT, PASANGAN DIBERKAS
Berita Jenayah
OKT, PASANGAN DIBERKAS
RAUB: Selepas kira-kira 10 hari bersembunyi, suspek wanita melarikan diri dari perkarangan Mahkamah Raub 14 September lalu, berjaya diberkas malam tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, suspek ditahan bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya di sebuah rumah sewa di Kampung Gali Hilir, dekat sini kira-kira jam 9 malam.
“Kita berjaya menahan semula suspek berusia 23 tahun dan seorang lelaki berusia 22 tahun, hasil risikan dan maklumat awam.
“Dalam serbuan di rumah sewa terbabit, kita turut merampas motosikal yang dipercayai digunakan kedua-dua suspek ketika meloloskan diri dari perkarangan Kompleks Mahkamah Raub pada 14 September lalu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam kejadian 14 September lalu, suspek wanita itu dibantu lelaki dipercayai teman lelakinya, meloloskan diri selepas selesai proses pertuduhan di Kompleks Mahkamah Raub menggunakan motosikal.
Kama Azural berkata, semakan terhadap rekod kedua-dua suspek mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah.
Katanya, siasatan terhadap kedua-dua suspek dijalankan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan Seksyen 225 Kanun Keseksaan.