Nur Kasih semarak seni Melayu Islam
Foto atas : Rasmira Ramli (kiri) bersama-sama ahli Kumpulan Nur Kasih ketika mempersembahan pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, baru-baru ini.
Nur Kasih semarak seni Melayu Islam
KLANG – Kumpulan Nur Kasih menyemarak dan menghidupkan budaya kesenian Melayu Islam dan sekumpulan suri rumah menubuhkan kumpulan marhaban dan nasyid kontemporari dalam menyempurnakan hasrat itu sejak 12 tahun lalu.
Penubuhan kumpulan berkenaan juga secara tidak langsung menjadi landasan mengeratkan hubungan sosial masyarakat di kawasan kejiranan sekitar Jalan Kapar sehingga ke Shah Alam apabila terbabit dalam pelbagai aktiviti komuniti.
Penyelaras kumpulan itu, Rasmira Ramli, berkata kumpulan itu dianggotai 20 ahli yang semuanya suri rumah serta mempunyai kaitan persaudaraan dan sentiasa berusaha mengerakkan kumpulan itu sebaik mungkin supaya dapat menjadi contoh membina ukhuwah dengan penduduk setempat dan lokasi yang dikunjungi melalui persembahan.
Katanya, kedatangan kumpulan itu ke satu-satu tempat bukan setakat untuk menghiburkan pengunjung dalam majlis dianjurkan juga sebagai pendedahan kepada masyarakat mengenai budaya kesenian Melayu Islam yang perlu dihidupkan.
“Tepukan dan penghargaan yang terima pada satu-satu majlis amat dihargai kerana memberi semangat kepada kami semua untuk terus aktif hingga sekarang dalam usaha memperkembangkan budaya kesenian Melayu Islam.
“Budaya kesenian Melayu Islam wajar dihidupkan atau diberi nafas baharu dalam apa jua bentuk supaya terus mekar dan tidak luput ditelan zaman, kami Nur Kasih rasa bertuah menjadi antara mereka yang berusaha ke arah berkenaan,” katanya.
Rasmira berkata, bagi memastikan kumpulan itu terus menambat hati masyarakat mereka akan sentiasa membuat penambahbaikan dalam setiap persembahan dengan mengalunkan lagu tradisional rakyat serta moden yang diadunkan bersama alat muzik seperti perkusi dan uplugged.
“Dengan menggunakan alat muzik itu kami akan mengalunkan sebaik mungkin lagu dipilih bersesuai dengan majlis diadakan seperti malam pengantin berinai serta persandingan, akikah, cukur jambul, sambutan hari jadi, rumah terbuka hari raya dan sebagainya.
“Berkaitan dengan bayaran, tiada kos tetap bayaran setiap persembahan yang dikenakan cuma kami biasa mengambil kira jarak perjalanan ke suatu tempat membabitkan dari segi perbelanjaan pengangkutan pergi dan balik serta bayaran sagu hati untuk ahli,” katanya.
Katanya, setiap kali dijemputkan untuk membuat persembahan kami akan memastikan ahli turut mendapat manfaat serta keberuntungan secara berkumpulan dan berasa gembira dapat mengembangkan kesenian Melayu Islam.
“Antara menggembirakan kami semua apabila dapat membuat persembahan di rumah kebajikan warga emas serta anak yatim kerana dapat mengubati kesedihan hati mereka yang tersisih daripada ahli keluarga.
“Bagi menyesuaikan dengan keadaan ini kami akan mengalunkan selawat, qasidah, marhaban bersama-sama penghuni di samping menyelitkan lagu moden serta nasyid Kontemporari terkini bersesuaian dengan majlis bagi memeriahkan lagi suasana,” katanya. -SAHIH.