KESAN POSITIF KAWALAN SEMPADAN
ATM SAHKAN PELAKSANAAN NTF BERJAYA KAWAL SEMPADAN, BANTERAS PENYELUDUPAN
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap fungsi National Task Force (NTF) dapat diteruskan terutama dalam aspek kawalan di sempadan walaupun pandemik COVID-19 berakhir.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata penyusunan dan model operasi yang dilaksanakan NTF menunjukkan kesan positif dalam pengawalan sempadan terutama mengekang penyeludupan, kemasukan petandatang tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.
“Buat masa ini NTF berfungsi dan bergerak ketika negara berdepan ancaman COVID-19 dalam mengawal sempadan dan penguatkuasaan undang-undang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jika dilihat fungsi NTF dari segi penyusunan serta model operasi, ia amat efektif. Mungkin kita akan meneroka fungsi NTF ini dengan lebih luas sebagai contoh dalam kawalan sempadan pada masa depan (walaupun pandemik berakhir),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi Op Benteng di Wisma Perwira di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritin Malaysia (APMM), Laksamana Datuk Mohd Zubil Mat Som.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, NTF yang menerajui Op Benteng memberi tumpuan kepada pencerobohan PATI yang bukan sekadar mencari tempat selamat di negara kita malah berkait dengan jenayah rentas sempadan.
“Lebih mengecewakan adalah kebanyakan aktiviti jenayah rentas sempadan ini didalangi oleh tekong serta warga tempatan yang mengambil kesempatan daripada keadaan tidak menentu ini,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat menyediakan perjawatan kekal di NTF bagi menambah baik struktur organisasi bersepadu itu.
“Perkara utama yang kita sedang giat usahakan adalah bagi mendapatkan perjawatan kekal di NTF. Buat masa ini, kita menggunakan konsep penugasan sementara dan tambahan operasi melalui perjawatan sedia ada dalam perkhidmatan ATM dan juga agensi lain.
“Saya yakin keadaan ini memberikan kesan terhadap kelancaran pengurusan organisasi masing-masing,” katanya.