KEROSAKAN INFRASTRUKTUR AKIBAT BANJIR DISELARAS SELASA DEPAN
KEROSAKAN INFRASTRUKTUR AKIBAT BANJIR DISELARAS SELASA DEPAN
MARAN : Nilai jumlah kerosakan setiap infrastruktur akibat banjir besar yang melanda Pahang baru-baru ini dijangka diselaraskan Selasa depan.
Setiap premis-premis awam, sekolah, balairaya, masjid, surau, rumah penduduk yang teruk dilanda banjir akan dinilai sama ada akan dibaiki, dibaik pulih atau dibina baharu.
Ia antara 200 juta ringgit bantuan yang diperuntukkan kerajaan persekutuan bagi membantu mereka yang terkesan dengan banjir.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata, jumlah premis dan nilai kerosakan akan diputuskan pada mesyuarat bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, selasa ini.
DATUK SERI DR ISMAIL SEDANG MEMBAIKI PINTU DI SALAH SEBUAH RUMAH DI PONDOK POK KOB.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, kementerian akan sentiasa mencari jalan agar bantuan membaik pulih premis-premis tersebut dapat disegerakan untuk kemudahan orang ramai.
“Pada mesyuarat pertama dua hari lalu, Datuk Seri Tengku Zafrul meminta agar setiap Ahli Parlimen yang kawasannya teruk terjejas banjir untuk menyenaraikan jumlah dan nilai kerosakan infrastruktur termasuk rumah penduduk.
“Perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pegawai daerah masing-masing dan data belum diketahui secara menyeluruh.
“Kita akan selaraskan mengikut keperluan sebenar umpamanya rumah yang perlu dibaiki, rumah yang rosak, bina baharu adalah RM65,000 yang baiki pula sebanyak RM15,000.
PASUKAN PGA BATILLION 7 KUANTAN TURUT BANTU MEMBERSIHKAN PONDOK POK KOB YANG ROSAK AKIBAT BANJIR
“Kita di bawah KPKT akan melihat kerosakan di bawah PBT dan ada juga peruntukan di bawah Kementerian Luar Bandar.
“Jadi, kita selarskan bersama menteri kewangan,” katanya ketika program gotong-royong pembersihan pasca banjir di Madrasah Raudah Al Muhibin di Pondok Pok Kob Chenor, di sini.
Pondok Kob dilanda banjir yang teruk sehingga 30 buah rumah yang menempatkan 60 warga emas, guru dan pelajar tahfiz ditenggelami banjir sehingga paras bumbung.
Gotong-royong tersebut turut dibantu Pejabat Parlimen Maran; Wanita Umno Maran; Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dan Ampang; Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia daerah Maran.
Timbalan Mudir Madrasah Raudah Al Muhibin, Barakatullah Mohd Bahari mengucapakan terima kasih kepada semua yang membantu.