Niat warga emas ke pekan beli barang berakhir tragedi maut
Niat warga emas ke pekan beli barang berakhir tragedi maut
KUALA LIPIS – Niat seorang warga emas untuk ke pekan membeli barangan berakhir tragedi apabila motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 25, Jalan Lipis–Benta, simpang Kampung Peruang di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu melibatkan sebuah lori Isuzu dan motosikal Honda Wave.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu lori Isuzu, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun, sedang bergerak dari Raub menuju ke Kuala Lipis bagi menghantar bekalan makanan.
“Penunggang motosikal pula merupakan lelaki tempatan berusia 84 tahun yang bergerak dari rumahnya di Kampung Peruang ke pekan Benta untuk membeli barangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda Wave yang ditunggang mangsa dipercayai bertembung dengan lori Isuzu berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Benta untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari ketika menerima rawatan,” katanya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Jazar Mat Piah, 84, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Lori yang terlibat
Menurut Ismail, kes kemalangan itu masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Lipis.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Ketua Polis Daerah Lipis serta seluruh warga IPD Lipis merakamkan ucapan salam takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.-SAHIH
